HIBURAN
Tewaskan Calon Tempatan Lain, Bront Palarae Menang Trofi Pelakon Pembantu Terbaik Di Anugerah Thailand
Aktor, Bront Palarae melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai pemenang trofi Pelakon Pembantu Terbaik di Anugerah Baan Nang Klang Lakorn ke-21 di Thailand.
Berita gembira tersebut dikongsi Bront di laman Instagram (IG) miliknya pada Sabtu.
Bront Tewaskan Calon Tempatan
Bront Palarae meraih anugerah tersebut menerusi filem seram Thailand iaitu The Cursed Land, arahan Panu Aree.
Memegang watak Heem dalam filem tersebut, Bront meluahkan rasa syukur dan bangga apabila dinobatkan sebagai pemenang menewaskan empat calon lain iaitu, Benjamin Joseph Varney, Arak Amornsupasiri, Aelm Bhumibhat Thavornsiri dan Sanya Kunakorn.
“Alhamdulillah! Berlakon dalam filem Thailand terasa seperti mimpi yang jauh. Dan kini, pengiktirafan ini sangat gila,” tulisnya bangga.
Bront turut membuat penghargaan terima kasih kepada barisan kru dan pelakon filem The Cursed Land atas kerja keras mereka.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan The Cursed Land dari lubuk hati saya. Kerja keras anda menjadikan ini sangat bermakna,” coretnya lagi.
Dalam pada itu, pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015) itu turut berharap industri perfileman Thailand dapat mengangkat cerita tentang masyarakat Melayu khususnya di wilayah Selatan negara itu.
“Saya berharap suatu hari nanti pawagam Thailand akan menceritakan lebih banyak cerita tentang suara-suara kecil dan kekayaan sejarah masyarakat Melayu di selatan. Kisah yang patut didengari dan diraikan,” tutupnya.
Filem ini memulakan tayangan pada 11 Julai 2024, dan telah ditayangkan di beberapa festival filem antarabangsa seperti Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) di Belanda, Festival Filem Antarabangsa Ho Chi Minh City di Vietnam, Festival Filem Asia di Itali, Festival Filem Hebat Antarabangsa Bucheon (BiFan) di Korea Selatan dan Festival Filem Asia New York (NYAFF) di Amerika Syarikat.
#pelakon
#Filem
#Bront Palarae
#Malaysia
#Thailand
#Seram
#Anugerah
#Menang
#Pelakon Pembantu Terbaik
#The Cursed Land