Sebahagian daripada bangunan hotel lima bintang, The Andaman Resort Langkawi dilaporkan mengalami kebakaran petang semalam.

Memetik laporan Kosmo, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian itu dua kali pada pukul 4.04 petang semalam dan 1.13 pagi tadi.

Mohamadul Ehsan berkata, operasi pemadaman telah dilakukan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan BBP Persiaran putra.

"Sebaik tiba di lokasi awal pagi tadi, api sedang marak disebabkan faktor cuaca angin kencang melibatkan bangunan bersebelahan blok utama kelas B.

"Keluasan bangunan kira-kira 300 kaki x 900 kaki (91 meter x 274 meter) terbakar hampir keseluruhan struktur tersebut," katanya hari ini.

Difahamkan, operasi masih diteruskan pihak bomba dan mereka berhadapan masalah bekalan air dan akses untuk melakukan pemadaman di bahagian terlibat.

Sementara itu, Gempak meninjau akaun Instagram rasmi hotel mewah tersebut dan tiada sebarang makluman dibuat setakat artikel ini ditulis.