Pasti ramai yang menanti-nantikan filem heist pertama, iaitu The Experts lakonan mantap Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap yang bakal ditayangkan pada 23 Mei ini.

Hafal Cara Taip Coding

Berkongsi mengenai filem itu, Ray mengakui dia berdepan dengan beberapa cabaran antara menghafal cara menaip ‘coding’ dengan betul dalam masa sebulan.

“Andre cakap dekat saya ‘you make sure hafal cara taip coding’. Dia tak nak nampak macam klise, macam main tekan saja. Memang coding itu pun betul-betul punya yang mereka berikan.

“Jadi, saya kena buat latihan dalam masa sebulan juga la,” kongsi Ray kepada Gempak ketika ditemui di malam gala filem The Experts di TGV Cinema, Sunway Velocity, Kuala Lumpur pada baru-baru ini.

Ray melakonkan watak sebagai Lan yang juga pakar godam dan merupakan anak nombor tiga daripada lima beradik iaitu Aaron Aziz, Remy Ishak, Mimi Lana dan Syafiq Kyle.

Lompat Masuk Cermin Kereta

Dalam pada itu, Ray turut mendedahkan salah satu babak yang mencabar di mana dia perlu melompat ke dalam cermin kereta jenis BMW.

“Lepas itu, Andre beritahu saya yang saya perlu ‘jump’. Tapi gila ke saya lari pun tak boleh, ini pula kena lompat. Siap kena masuk dalam cermin kereta BMW. Bayangkan cermin BMW berapa besar saja.

“Banyak kali juga ambil, masuk dalam cermin itu… berapa kali saya cium bontot abang Remy (sambil ketawa). Kepayahan ada, tapi Andre percaya saya boleh buat.

“Jadi, saya pastikan yang pemilihan mereka untuk saya buat semua itu menjadi la,” ujarnya lagi.

BERITA TRENDING: Seminggu Mimi Lana Menangis Sebab Potong Rambut Pendek - “Saya Rasa Tak Boleh Terima…”

Selepas filem Sheriff yang masih ditayangkan mendapat sambutan yang luar biasa, Astro Shaw bakal tampil dengan satu lagi karya agung menerusi filem The Experts.

Filem aksi heist, The Experts terbitan oleh penerbit filem pecah panggung Astro Shaw bersama ZAK Capital dan TGV Pictures bersedia untuk temui penonton bermula 23 Mei depan di pawagam seluruh negara.

Filem arahan pengarah blockbuster Polis Evo 2, Andre Chiew bersama Nazim Shah pengarah filem J2: J Retribusi memperlihatkan gandingan pertama kali bintang-bintang hebat tanah air iaitu Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak dan Ray Dapdap sebagai lima beradik yang membuat perancangan terbesar untuk merompak.

Sinopsis

Kisah The Experts bermula selepas sedekad lima adik beradik meninggalkan kegiatan merompak dan kemudian kembali berkumpul kerana satu ugutan.

Mereka mendapat arahan daripada gangster terkenal untuk melakukan satu lagi rompakan terbesar yang berisiko tinggi. Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lalu.

Bagaimana harus mereka berdepan musuh dan melindungi keluarga mereka? Adakah misi ini akan menjadi kali terakhir lima adik beradik ini bersama?