Susulan ketegangan yang berlaku antara Nora Danish dan Fasha Sandha sejak semalam, penganjur acara Fenomena Aidilfitri 2017 tampil memberikan kenyataan.

Pengarah Urusan Glass Go Media, Amiruddin Rizuan Ali, akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas kemelut yang melanda dua selebriti itu.

"Kejadian yang berlaku tiada kena mengena dengan Nora Danish atau Fasha Sandha dan ia sebenarnya atas kelalaian daripada pihak saya.

"Pada malam tersebut tiada sebarang kejadian melibatkan tarik diri daripada pertunjukan fesyen mahupun halau-menghalau dan ia merupakan satu salah faham.

"Jadi, saya mengambil sepenuh tanggungjawab atas perkara yang terjadi dan akan cuba menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Saya memohon agar netizen dan peminat menghentikan spekulasi dan tidak terus menyebarkan fitnah," katanya dalam sidang akhbar tergempar di Publika tadi.

Situasi tegang antara Nora dan Fasha tercetus apabila Fasha memuat naik foto berserta status menceritakan insiden salah faham yang berlaku ketika acara pertunjukan fesyen Fenomena Aidilfitri 2017 di Hotel Doubletree Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu.

Fasha menerusi Instagramnya semalam memuat naik status yang mendakwa ada artis yang jenamanya turut terbabit dalam pertunjukan fesyen itu akan menarik diri sekiranya Fasha hadir.

“Pada mulanya pihak pengurusan jenama artis itu tidak mahu saya hadir ke majlis itu, tetapi mereka kemudian menukar fikiran dan membenarkan saya hadir.

“Saya benar-benar keliru dan kusut dengan situasi terbabit,” tulisnya di Instagram.

Teks oleh: Amri Hassan