Pelakon Tiz Zaqyah mengakui tidak pernah kisah siapa yang bakal menjadi gandingannya di dalam sesebuah filem ataupun drama.

Tiz atau nama sebenarnya Siti Zaqyah Abdul Razak, 29, berkata, dia lebih mementingkan kualiti sesebuah karya yang dihasilkan berbanding gandingannya bersama pelakon lain.

"Saya sebenarnya sangat terbuka dan tidak memilih siapa yang akan digandingkan dengan saya dalam drama.

"Ini kerana selagi ada rezeki yang diberikan saya akan terima saja kerana bagi saya apa yang penting adalah jalan ceritanya.

"Bagi saya pengarah yang akan memainkan peranan penting dalam menentukan gandingan yang sesuai kerana sudah semestinya mereka mahukan sesuatu yang terbaik," katanya kepada Astro Gempak.

Tiz berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Tayangan Memori Pajeri Nanas, di GSC Signature @ The Gardens, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bercerita mengenai filem Memori Pajeri Nenas, Tiz berkata, dia tertarik dengan jalan cerita yang berbeza dari lakonannya sebelum ini dan bersyukur kerana digandingkan dengan Alif Satar dan Siti Saleha.

"Jalan cerita dalam filem ini sangat menarik kerana apa yang cuba disampaikan oleh pengarah dekat dengan kehidupan masyarakat kita dan watak yang dibawakan ini berbeza dengan watak-watak yang pernah saya bawa sebelum ini.

Memori Pajeri Nenas boleh ditonton menerusi tempahan di Astro First Eksklusif(saluran 480) mulai 20 Julai depan.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi