Laman Utama
"Tiada Pengganti Bernama Sandra..." - Wani Kayrie
Penyanyi dan bintang Big Stage musim pertama, Wani Kayrie meluahkan rasa dukacita akan berita pemergian Sandra Dianne.
Menurut Wani, dia sempat bertemu peserta Big Stage 2020 itu pada 29 Ogos lalu ketika rehearsal minggu duet pertandingan berkenaan.
"Terima kasih ya Allah engkau beri peluang buatku untuk borak panjang bersama arwah buat kali terakhir pada 29/8/2020 hari rehearsal minggu duet Big Stage 2020," kongsinya di Instagram.
Advertisement
Tambah Wani, dia dan Sandra merupakan rakan seperjuangan yang sama-sama menapak dalam industri hiburan pada tahun 2015.
Mereka juga banyak terlibat membuat persembahan bersama-sama sebagai usaha membina nama.
"Sandra Dianne, rakan seperjuangan yang sama batch 2015 dengan saya masa baru menapak dalam industri.
"Banyak perform sama-sama sebab nama kitorang baru nak naik di mana orang tak kenal pun nama kami, kenal lagu sahaja, tetapi kami berjuang hinggalah sekarang," tulisnya lagi.
Di penghujung kapsyen, Wani tidak lupa mendoakan ketenangan Allahyarham dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.
"Tenanglah kau di sana Sandra, awak orang yang hebat, tiada pengganti bernama Sandra dalam industri.
"Salam takziah buat keluarga Sandra, moga arwah ditempatkan di kalangan orang beriman," tambahnya.
Pada Sabtu, Sandra atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria, 26, terlibat dalam satu kemalangan kereta di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ketika menuju ke Putrajaya International Convention Centre (PICC) bagi tujuan rehersal.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang berada di depannya berhenti secara mengejut.
Sandra mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal sejak Sabtu.
Gempak mengucapkan salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Sandra dan semoga rohnya sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, Al-Fatihah.
Must-Watch Video