Berita
Tiada Simptom, Ini Punca Alif Satar Buat Test Covid-19 Sekaligus Disahkan Positif
Pengurus kepada pelakon dan penyanyi Alif Satar, Adlina Abu Bakar mendedahkan penyanyi Lelaki Seperti Aku itu tidak menunjukkan sebarang simptom sebelum disahkan positif Covid-19.
Namun, Alif bertanggungjawab membuat ujian swab Covid-19 sebaik sahaja mendapati saudara yang juga kontak rapatnya disahkan positif virus tersebut.
"Pada Sabtu lalu, Alif dihubungi oleh bapanya yang memaklumkan salah seorang saudaranya yang ditemui di Kuala Lumpur atas urusan kerja pada Selasa lalu disahkan positif Covid-19.
“Alif yang ketika itu berada di Melaka bagi menjalani penggambaran sebuah drama tanpa berlengah terus ke hospital untuk membuat ujian saringan.
“Pada keesokan harinya dia dimaklumkan positif Covid-19,” katanya kepada Astro Gempak.
Mengulas mengenai keadaan Alif ketika pertemuan mereka baru-baru ini, Adlina memberitahu Alif tidak mengalami gejala tidak sihat seperti demam atau sebagainya.
“Alif tidak mengalami apa-apa simptom seperti demam atau sebagainya, malah dia kelihatan sihat sahaja.
“Namun dia kini perlu menjalani rawatan serta dikuarantin di hospital sehingga sembuh.
"Saya mohon kepada semua pihak untuk mendoakan kesihatan Alif sehingga dia sembuh," katanya.
Selain Alif, ibu, bapa serta adik bongsunya juga turut disahkan positif Covid-19 dan mereka kini menjalani rawatan serta kuarantin di Hospital Sungai Buloh.
Sementara isterinya, Sha Dila Hadid dan anak-anaknya iaitu Alisha Anugerah, 5, Ariana Mecca, 3 dan Muhammad ‘Ali, 1, sudah pun menjalani ujian saringan dan sedang menunggu keputusan Covid-19.