Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Tiada Suami, Tiada Gas Tahan Sakit”-Bersalin Ketika PKP, Mon Ryanti Kongsi Tips & Persediaan Ibu

Syafiqah Jalal
19/05/2020 09:50 MYT
Pelakon Mon Ryanti akui bersalin ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak berbeza daripada sebelum ini.

Menurut Mon atau nama sebenarnya Haryanti Muhammad Sahudina Lee, ketika melahirkan anak ketiganya itu dia perlu mempunyai persediaan mental dan fizikal yang lebih kuat.

Berikut Mon kongsikan 6 persediaan serta tips yang boleh dilakukan oleh ibu-ibu hamil yang dijangka bersalin dalam tempoh terdekat.
  1. Persediaan Fizikal dan Mental
“Sebenarnya ibu-ibu perlu bersedia dari segi fizikal dan mental bahawa proses bersalin ketika tempoh PKP tidak sama seperti waktu biasa sebelum ini. Jadi perlu lebih kuat untuk hadapi waktu getir nanti serta banyak lah berdoa serta berzikir.
 
  1. Pemeriksaan Covid-19
“Ibu-ibu perlu bersedia jika diminta untuk membuat pemeriksaan COVID-19 kerana boleh dikatakan ia merupakan prosedur untuk semua hospital sebelum memasuk dewan bersalin. Saya sendiri sudah melaluinya meskipun ketika itu sudah ada bukaan hendak bersalin namun hospital tetap teruskan prosedur seperti membuat pemeriksaan tersebut.
 
  1. Suami Tak Dibenarkan Masuk
“Saya sendiri bila dapat tahu suami tidak dapat masuk ke dalam dewan bersalin memang rasa sangat sedih dan gementar sehingga menangis. Ketika di dalam dewan bersalin, suami hanya berada di depan pintu dan kami hanya berborak menerusi aplikasi Whatsapp sahaja. Itu sahaja ketika itu medium yang ada sebelum saya bertarung nyawa melahirkan anak kami. Namun saya bersyukur kerana ditemani jururawata serta doktor yang baik sepanjang sakit kontraksi di dalam dewan bersalin.
 
  1. Gas Entonox Tidak Dibenarkan
“Jika kedua-dua anak saya sebelum ini, saya ada mengambil gas Entonox iaitu gas untuk tahan sakit tapi kali ini ia tidak dibenarkan. Menurut pihak hospital gas itu tidak dibenarkan sejak PKP lagi untuk langkah keselamatan. Rasa agak sedih juga kerana terpaksa bertarung nyawa tanpa bantuan gas itu.
 
  1. Sediakan Makanan Sebelum Ke Hospital
“Makanan penting untuk dibawa ke hospital kerana saya sendiri tidak terfikir untuk bawa dan agak kelaparan selepas bersalin. Yelah ketika musim PKP tidak ada banyak kedai makan yang buka. Café hospital juga tutup. Jadi sediakan lah makanan seperti biskut atau roti sebelum ke hospital
 
  1. Tiada pelawat
“Seperti semua sedia maklum hospital juga tidak menggalalakan pelawat untuk datang ke hospital untuk keselamatan dan mengelak daripada tularnya COVID-19,” katanya.
Pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak itu terpaksa melahirkan anak ketiganya di Johor pada 7 Mei lalu selepas terkandas di kampung halamannya sebelum PKP Mac lalu.
Terdahulu, Mon Ryanti mendirikan rumah tangga bersama suaminya,Mohd Hasrul pada September 2014. Sebelum ini keduanya sudah pun dikurniakan seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan.
 
#Bersalin #Ibu #Mon Ryanti #PKP