Konsert minggu pertama All Together Now Malaysia (ATNMY) malam Ahad menyaksikan Ajoi Zainal meraih markah 100 dari pihak juri lalu melayakkannya ke pentas akhir.

Sementara Najua P Ramlee pula menumpaskan Ayla dalam pusingan sing off dan akan menemani Ajoi di konsert final.

Menurut Ajoi, dia tidak sangka akan mendapat markah seratus peratus, kerana hanya mahu membuat persembahan dengan baik.

"Bukanlah nak kedengaran klise, tapi memang saya tak sangka langsung untuk dapat 100 markah dalam konsert minggu pertama itu.

"Apa yang saya nak tunjukkan dalam ATNMY adalah kewujudan saya dalam industri, saya cuba lakukan yang terbaik, saya tak jangka dapat markah 100, saya hanya harap dapat persembahkan lagu dengan baik.

"Dari segi persediaan pula, apa apa lagu yang saya nak nyanyi, saya kena fahamkan isi lagu itu mengenai apa dan tentunya latihan yang mencukupi," katanya kepada Gempak.

Mengulas mengenai detik sebak selepas membuat persembahan, Ajoi akui terkenang akan arwah bapanya, Allahyarham Zainal Abidin Ibrahim ketika menyanyi di pentas konsert minggu pertama itu.

Momen sebak itu juga membuatkan beberapa orang juri termasuk Zizan Razak menitiskan air mata.

"Saya tak sangka ketika sedang menyanyi, fikiran saya terimbas arwah abah secara tiba-tiba. Tambahan lagi dapat markah seratus peratus, perasaan jadi bercampur baur, sedih dan nak menangis.

"Arwah abah saya sangat memberi sokongan dan bangga dengan anak dia, ketika dia masih ada dulu, dia selalu cerita tentang anak dia kepada kawan-kawan, dia memang nak anak dia jadi seorang penghibur.

"Kalau ikutkan saya tak mahu teruskan jadi penyanyi, tetapi mak saya pun mendorong, saya pun ada mimpi arwah abah nak tengok saya macam ini, jadi saya rasa terpanggil untuk terus menyanyi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ajoi kini bernaung di bawah label rakaman Sony Music Entertainment Malaysia bersama Misha Omar, Amy Mastura, Harris Alif, Vanessa Reynauld, Aisha Retno dan ramai lagi.

Apapun, Gempak mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua peserta yang telah menyertai ATNMY dengan pelbagai latar belakang dan kisah yang mencetus inspirasi, ada juga yang menyentuh hati.

ATNMY disiarkan pada setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Untuk menonton video dan info menarik, anda boleh melayari www.gempak.com.