Penyanyi Black Hanifah berkongsi cerita sedih apabila dia menemui seekor kucing yang tiba-tiba terjatuh dari sebuah bangunan di hadapannya.

Menurut Black, kejadian itu berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan untuk pergi makan. Sebaik sahaja melihat kejadian itu, Black dan isteri, Naquia Yasirah terus bergegas membawa kucing itu ke sebuah klinik veterinar terdekat.

"Kami nak pergi makan, tiba-tiba kucing ini jatuh dari atas, masih boleh diselamatkan, insya-Allah kami nak bawa ke klinik haiwan," kata Black dalam sebuah video yang dikongsi di Instagram.

Kemudian, video itu memaparkan kucing tersebut menerima rawatan di sebuah klinik veterinar di Shah Alam.

Dalam video tersebut, doktor memberitahu keadaan kucing itu yang mengalami sawan akibat gegaran otak dan memberi kesan terhadap sistem dalamannya.

Malangnya, di penghujung video, Black memaklumkan kucing tersebut tidak dapat diselamatkan.

Black sempat mengajak orang ramai untuk membantu haiwan yang dalam kesusahan dan sakit. Pada masa yang sama, penyanyi lagu Aku Rindu Sayang Kamu ini mengucapkan terima kasih kepada doktor yang terlibat.

"Dengan dukacitanya, anak kucing ini tak dapat diselamatkan. Sedikit peringatan kepada kita agar dapat membantu binatang seperti ini jika ianya di dalam kesusahan mahupun kesakitan.

"Binatang juga bernyawa, terima kasih doktor yang membantu dan menguruskan segalanya," tulis Black dalam video berkenaan.

Perkongsian itu mengundang perhatian ramai pengikut Black di ruangan komen.

Rata-rata mereka turut bersedih dan sayu melihat keadaan haiwan comel tersebut.

A post shared by Black Hanifah (@black.hanifah)