Pelakon Esma Daniel mendedahkan dia telah selamat menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di otak akibat serangan angin ahmar atau strok pada 11 November lalu.

Terdahulu, Esma, 55, dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kuala Lumpur.

Menerusi perkongsian di laman Facebook, Esma berkata, doktor menggunakan teknik 'trombektomi endovaskular' iaitu teknik rawatan terkini untuk mengeluarkan darah beku yang menyumbat salur darah besar di otak.

"Doktor berpendapat, saya harus diberi peluang menerima rawatan itu memandangkan saya aktif bersukan dan kemungkinan otak dan organ badan saya masih berfungsi dengan baik walaupun selepas 24 jam serangan strok.

"CT Scan juga mendapati lebih kurang 3mm darah beku tersumbat di otak tetapi otak belum lagi rosak.

"Oleh itu, rawatan itu diberikan dengan harapan dapat menyelamatkan otak dan organ saya dari rosak akibat darah beku itu," tulisnya.

Esma berkata, selepas mendapat persetujuan darinya dan waris, rawatan trombektomi dilakukan di hospital berkenaan.

"Alhamdulillah, selepas CT Scan dilakukan sekali lagi, doktor mendapati darah beku itu sudah tiada lagi di otak.

"Saya ditempatkan di wad rawatan rapi hospital selama empat hari," tulisnya.

Bagi memastikan jantung tidak berkait dengan serangan strok, kata Esma, ECG dan ultra sound juga dilakukan.

"Jantung saya juga berada dalam keadaan baik dan tidak berkait dengan serangan strok dialami yang menyebabkan serangan angin ahmar atau strok," tulisnya.

Muka senget, tangan tak dapat angkat gelas

Berkongsi detik serangan angin ahmar itu, kata Esma, ia berlaku sebaik larian rutin selepas makan malam bersama isterinya, Nur Atira Mazlan, 31, pada 10 November lalu.

"Secara tiba-tiba, saya berasakan tangan kiri tidak dapat mengangkat gelas minuman dan isteri mendapati muka saya agak senget ketika itu.

"Apabila saya cuba bangun, kaki kiri terlalu lemah hingga hampir tumbang dan disambut isteri," tulisnya.

Kata Esma, dia yang menghidap hipertensi mendapati tekanan darah tinggi naik mendadak dan cuba baring dengan kedudukan kaki dinaikkan.

"Saya cuba tenangkan diri dan perlahan-lahan tekanan darah turun sedikit.

"Pada ketika itu, isteri menyarankan saya untuk ke hospital tapi saya yakin keadaan akan bertambah baik dan akhirnya terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan hospital keesokan harinya sekali gus menjalani pembedahan," tulisnya.