Jom undi InilahHeroKITA 2024 yang memberikan inspirasi melalui media sosial sekarang! 

“Tidak Boleh Balik Kampung Sambut Ramadan…Memang Tidak Boleh!” – Ismail Sabri

Fiza Kamarudin
16/04/2020 23:00 MYT

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melarang orang ramai pulang ke kampung Ramdan ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa tiga dilaksanakan.

Beliau berkata, larangan itu sudah dilaksanakan sejak PKP fasa satu dan dua sebelum ini iaitu, tidak dibenarkan pergerakan rentas negeri.

Oleh itu katanya, Ramadan ini juga masih tertakluk pada undang-undang sama.

“Bermakna, pergerakan beramai-ramai untuk pulang ke kampung (menyambut Ramadan) juga tidak dibenarkan, memang tidak boleh,” katanya kepada pemberita pada sidang media harian di Putrajaya, petang Khamis.

Selain itu Ismail Sabri turut menegaskan bahawa PKP fasa ketiga yang bermula semalam sudah diwartakan dan pihak polis mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan pihak yang melanggar arahan.

Terdahulu tular penyebaran berita palsu mendakwa PKP fasa ketiga tidak diwartakan dan mendakwa  polis tidak mempunyai kuasa untuk bertindak.

“Sekali lagi diingatkan, kerajaan memandang serius penularan berita palsu. Dua hari lalu ada pihak mendakwa PKP fasa ketiga tidak diwartakan sedangkan jelas ia sudah diwartakan.

“Itu berita palsu dan kita akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebar berita tersebut,” tegasnya lagi.

#Ramadan #COVID-19 #Ismail Sabri