UNDI TOP 5 GEMPAK MOST WANTED AWARDS SEKARANG!
Hiburan

Tidak Mahu Dilabel Sekadar Buat Kerja, Fasha Sandha Pergi Kelas Lakonan

Zulaikha Yusof 31/07/2019 | 04:28 MYT
Aktres cantik Fasha Sandha mendedahkan masih menghadiri kelas atau kursus lakonan walaupun sudah 16 tahun berada dalam bidang seni.
Menurut Fasha, setiap kali menonton hasil lakonannya dia akan mencari kekurangan diri sendiri.
"Apabila sampai di satu peringkat usia, tahap lakonan akan berbeza terutamanya daripada segi ekspresi wajah, jadi saya perlu tambah ilmu dan skill lakonan.
"Saya tidak pernah lupa untuk mencari kekurangan diri sendiri selepas menonton hasil lakonan.
"Saya tak mahu sekadar buat kerja tetapi penonton tak rasa lakonan yang disampaikan sebab itu saya masih pergi kelas atau kursus lakonan walaupun dah 16 tahun berlakon," katanya kepada Gempak.
Fasha ditemui ketika majlis tayangan filem televisyen (FTV) Suatukala - Timun Mas & Ijo yang diadakan di Luxe Hall, One Utama.
Tambah pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan ini, dia mengakui selepas berkahwin, rezekinya tidak pernah putus.
"Syukur alhamdulillah walaupun usia saya sudah 35 tahun tapi masih diperlukan dalam industri.
"Kalau ikutkan perancangan awal selepas kahwin memang saya nak perlahankan aktiviti seni tapi banyak dapat rezeki.
"Tapi apa-apa pun saya anggap ini adalah rezeki anak-anak dan rezeki selepas kahwin," katanya lagi.
Kini Fasha sedang aktif mempromosikan filem Suatukala - Timun Mas & Ijo yang bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 1 Ogos 2019.
Selain Fasha, filem Suatukala - Timun Mas & Ijo turut dibintangi oleh Prisia Nasution, Thalia Ivanka, Fikry Kiki dan Kishok Kumar.
Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton filem televisyen (FTV) ini dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Suatukala - Timun Mas & Ijo boleh turut didapati menerusi platform digital, 'On Demand'.
#pelakon #Fasha Sandha #Pelakon
;