Tidak Mahu Panjangkan Isu Melibatkan 4U2C, Ajai Tampil Mohon Maaf - “Ia Bukan Bertujuan Untuk…”
Penyanyi dan komposer, Ajai tampil memohon maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkannya ketika mengulas mengenai isu hak cipta yang melibatkan kumpulan, 4U2C.
“Saya ingin menjelaskan kenyataan saya sebelum ini berkenaan konsert 4U2C.
“Sekiranya kenyataan saya telah disalah tafsir atau menyinggung mana-mana pihak, saya mohon maaf,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Instagram.
“Ia bukan bertujuan untuk menghalang mana-mana pihak daripada berkarya. Saya menyokong usaha mana-mana artis untuk terus berkarya dan berharap segala perkara dapat diselesaikan secara baik dan berhemah,” tulisnya lagi.
Menerusi kenyataan kepada media, Ajai dipercayai berkata bahawa konsert 4U2C tidak sepatutnya diteruskan kerana pemilik asal ‘bunyi’ lagu-lagu kumpulan itu ialah Man Senoi.
Terdahulu, kontroversi ini mula tercetus apabila komposer Man Senoi dan isterinya, Mama Rap yang mendakwa tidak dimaklumkan tentang penganjuran We 4U2C Live In Concert walaupun mendakwa memiliki hak cipta sepenuhnya ke atas 25 lagu milik kumpulan hip hop 4U2C menerusi syarikat mereka, Zman Production.
Man Senoi dilaporkan mempersoalkan bagaimana pihak 4U2C mahu meneruskan konsert jika sebahagian besar lagu yang bakal dipersembahkan adalah milik syarikatnya secara sah.
Kenyataan tersebut kemudiannya mengundang pelbagai reaksi termasuk daripada peminat, industri muzik serta individu dalam bidang seni tanah air, termasuk komposer Ajai yang turut menyatakan pandangan secara terbuka kepada media.