Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana mengakui mempunyai beberapa syarat untuk bakal calon suaminya.

Menurut Siti Nordiana atau lebih selesa dipanggil Nana, berkata, usia tidak menjadi penghalang sekiranya sesorang itu mempunyai akhlak yang baik untuk membimbingnya ke arah agama.

"Sebenarnya saya tidak meletakkan apa-apa sasaran untuk berkahwin dalam masa terdekat ini kerana segalanya terletak pada jodoh.

"Namun sekiranya ada jodoh, saya mahukan seseorang yang boleh membimbing saya ke arah agama, baik hati dan tidak panas baran.

"Saya juga tidak menolak jika selepas ini akan bertemu jodoh dengan lelaki yang lebih muda daripada saya.

"Buat masa sekarang saya selesa hidup bersama anak saya dan lebih banyak memikirkan soal kerjaya berbanding ingin berkahwin," katanya kepada Astro Gempak.

Nana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video lagu terbarunya, Hatiku Milikmu di Flora Terrace, Kuala Lumpur, pada Isnin.

Nana mempunyai seorang anak lelaki bernama Muhammad Nakhaie Rayyan, 10, hasil perkahwinannya dengan pelakon, Mohd Faizal Yusup.

Mereka bercerai pada tahun 2009, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga.

Bekas suaminya meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2011.