Hiburan
Tidak Tahan Difitnah Bekas Isteri Suami, Maria Farida Saman
Pelakon Datin Maria Farida mahu meneruskan saman fitnah terhadap bekas isteri suaminya, Hadijah Mokthar.
Menurut Maria, dia tidak akan berdiam diri lagi selepas difitnah secara bertubi-tubi oleh wanita berkenaan.
"Pelbagai tuduhan dilemparkan kepada saya seperti perampas suami orang, bomohkan suami, berebut kasut dengan anak tiri dan paling tak boleh terima bila dia tuduh saya tampar anaknya.
Advertisement
"Macam mana saya sanggup nak tampar Rayyan sedangkan makan pakai dia saya yang jaga?
"Sebelum ini saya tak pernah beri respon terhadap perkara yang dia lakukan pada saya, tapi kali ini saya tak akan diam lagi.
"Sepanjang 9 bulan saya diganggu dan sabar dengan 'permainan' dia tapi bila dah semakin menjadi-jadi sehingga mencederakan suami saya itu melampau!" katanya ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Hotel The Royale Chulan, Damansara pagi Jumaat.
Tambah Maria lagi, pihaknya sudah menyerahkan dua surat saman pada November dan Disember tahun lalu, tetapi tiada tindakan diambil untuk surat pertama kerana bekas isteri suaminya itu berjanji untuk berubah.
Bagaimanapun, Hadijah atau dikenali sebagai Karen telah memungkiri janji dan masih mengganggu rumahtangga mereka.
"Memang dia berjanji untuk berubah namun itu semua tipu, sehingga kini dia masih lagi ganggu kehidupan kami sekeluarga. Berpuluh-puluh mesej dalam bahasa kesat dihantar kepada saya dan suami. Kami bukan bercakap kosong kerana mesej-mesej yang dihantar itu kami simpan sebagai bukti," ujarnya.
Dalam pada itu, suami Maria, Datuk Rahman Syakur, 62, menjelaskan insiden dilanggar bekas isteri itu adalah benar.
"Saya ada hak untuk ambil anak kerana saya mendapat hak penjagaan kekal mereka. Dia yang langgar perintah mahkamah.
"Walaupun sudah bercerai, saya tak mahu putuskan hubungan ibu dan anak sebab itu saya beri dia jumpa mereka. Tapi lain pula jadinya bila dia tak mahu pulangkan dan saya terpaksa ke rumahnya untuk mengambil Ayshea dan Rayyan.
"Marah dengan tindakan tersebut dia terus melanggar saya yang berada di pagar. Saya telah diseret sejauh 5 meter dan mengakibatkan luka kecil pada bahagian badan saya.
"Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius. Dia kata pertahankan diri tetapi di akaun Instagram lain pula ceritanya.
"Siap beritahu dia sepatutnya seret saya sehingga mati dengan memuat naik gambar anjing yang diseret.
"Sampai bila dia nak menipu? Saya ada surat mahkamah yang mengesahkan hak penjagaan kekal anak-anak pada saya," tegasnya.
Maria dan Datuk Rahman berkahwin pada 26 November tahun lalu.
Must-Watch Video