Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar untuk masyarakat dunia akibat pandemik COVID-19.

Namun Astro Shaw sebagai penerbit terus memainkan peranannya dalam membawakan konten baru dan berkualiti bagi memberikan kepuasan kepada penonton serta merancakkan lagi industri filem tempatan meskipun pada waktu yang mencabar ini.

Melangkah ke tahun baru ini, Astro Shaw membawakan kepada anda sebuah filem yang diinspirasikan daripada latar belakang semasa di Malaysia dalam situasi berhadapan pandemik COVID-19.

Itulah yang diterapkan dalam filem Kerana Korona, ia mengisahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan.

Filem arahan pengarah terkenal Kabir Bhatia ini akan menjengah pawagam di rumah anda pada Khamis ini, 21 Januari 2021 menerusi Astro First (saluran 480).

Apa yang menarik, menerusi Kerana Korona, ia akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Seperti babak keluarga menyaksikan hakikatnya PKP memberi peluang untuk mereka memperbaiki serta lebih mengeratkan lagi hubungan bersama orang tersayang.

Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.

Sarat dengan emosi, setiap babak telah dijayakan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Datuk Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal. Ini juga merupakan gandingan semula Rita Rudaini dan Rashidi Ishak sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta pada tahun 2006.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, filem pertama yang diterbitkan dalam tahun 2021 itu mengangkat kisah dan konflik yang benar-benar berlaku dalam kalangan masyarakat.

“Tahun lalu merupakan tahun yang cukup mencabar buat semua dan kami memahami setiap insan pasti mempunyai kisah mereka tersendiri.

"Jadi, Astro Shaw telah inspirasikan latar sebenar iaitu ketika dalam tempoh PKP dalam bentuk filem dengan mengangkat kisah serta konflik berbeza yang mana ia sememangnya terjadi dalam kalangan penonton di luar sana," kata beliau.

Beliau juga berharap agar filem ini mampu mengingatkan penonton tentang kepentingan menghargai insan-insan tersayang.

"Menariknya, cerita sebegini tidak pernah lagi difilemkan. Maka, diharap menerusi Kerana Korona sedikit sebanyak ia mampu mengingatkan penonton bahawa meskipun kita berada dalam tempoh sukar, sentiasalah hargai orang di sekeliling terutamanya keluarga tersayang kerana setiap mereka mungkin sedang melalui pergolakan masing-masing.

"Kini, memandangkan sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu menempuhi sekali lagi tempoh PKP, lalu kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk filem dengan tema sebegini menemui penonton bagi mengisi masa mereka dengan menonton bersama keluarga dan terus kekal berada di rumah," katanya lagi.

Jadi, jangan lupa saksikan filem Kerana Korona Khamis ini di 'pawagam' rumah anda!