Kumpulan R&B dan hip-hop popular Malaysia, Ruffedge bakal mengadakan sebuah konsert di Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) pada hari Isnin, 23 Mac 2020 jam 8.30 malam.

Boleh memuatkan seramai 920 orang pada satu masa, tiket untuk menyaksikan konsert mereka di DFP telah habis dijual!

Sejajar dengan usaha DFP untuk menyajikan pelbagai genre muzik kepada orang ramai, Ruffedge akan mengikuti jejak langkah kumpulan tempatan lain yang telah berpeluang mengadakan konsert di pentas berprestij DFP seperti Hujan dan Akim & The Majistret.

Sebelum ini, kumpulan-kumpulan tersebut telah menyerlahkan bakat seni yang hebat di dewan yang terkenal dengan tahap akustika yang tinggi.

Ruffedge ditubuhkan pada tahun 1997 dan membuat kemunculan sulung di pertandingan Sony Battery Face On Talent Search pada tahun 1999 di mana kumpulan ini menjadi juara.

Kumpulan ini telah menghasilkan banyak lagu hit sepanjang karier mereka seperti Tipah Tertipu, Da’ Bomb, Bila Rindu dan Lemas.

Kumpulan ini telah melahirkan tiga album studio dan dua album kompilasi yang telah mendapat sambutan hangat termasuklah album Defined (2004) dan Ruffera (2005) yang telah menerima anugerah platinum.

Ruffedge telah memenangi anugerah Artis Harapan di Anugerah Industri Muzik pada tahun 2003 dan telah dicalonkan di beberapa acara anugerah lain seperti Anugerah Era dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

Kumpulan ini juga telah menjadi finalis di Anugerah Juara Lagu pada tahun 2004.

Ruffedge, yang menyambut ulang tahun yang ke-20 pada tahun 2018, akan membawa peminat-peminatnya menyelusuri memori di DFP dengan mempersembahkan lagu-lagu hit seperti Tiada Lagi Cinta dan Khayalan serta memberi penghormatan kepada artis-artis lain.

Kumpulan ini akan diiringi oleh band yang dipimpin oleh Datuk Acis sebagai Pengarah Muzik.