Tinggal empat bulan sahaja lagi sebelum pelakon Zalif Sidek menamatkan zaman bujang dengan pilihan hatinya, Anis Marzuki. Sungguhpun teruja menanti hari bahagia, namun, banyak hal yang perlu diberi keutamaan oleh Zalif sepanjang tempoh empat bulan ini.

“Alhamdulillah, selepas anak seni diberi kebenaran untuk kembali melakukan aktiviti dan bekerja, saya sudah mula memberi fokus sepenuhnya terhadap kerjaya. Maklumlah, sebagai persediaan untuk memulakan hidup baharu nanti.

“Kami juga menjalani perhubungan jarak jauh. Setakat ini, kami masih belum dapat berjumpa empat mata, hanya berkomunikasi menerusi panggilan telefon sahaja. Saya sendiri tidak tahu bagaimana keadaan kami selepas mendirikan rumah tangga. Begitupun, saya berharap agar semuanya baik-baik sahaja,” jelas Zalif.

Zalif yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaharu, Bunga Dan Kayu menambah, majlis perkahwinan dengan belahan jiwanya akan dilangsungkan dalam skala sederhana.

“Untuk pengetahuan, malah majlis perkahwinan kami bakal berlangsung dalam skala sederhana sahaja. Susah untuk menebak apa yang akan berlaku pada masa akan datang, ditambah pula dengan keadaan pandemik yang melanda dunia kini.

“Justeru, kami tidak mahu mengeluarkan wang yang banyak untuk majlis perkahwinan. Wang yang ada itu kami ingin gunakan untuk memulakan hidup baharu sebagai suami isteri,” tambahnya.

Melanjutkan bicara, Zalif, 36, turut berkongsi tentang bagaimana perkenalannya bermula dengan gadis berusia 24 tahun itu.

“Anis merupakan kawan baik kepada sepupu saya. Anis pernah datang ke rumah saya dua kali sebelum bapa saya meninggal dunia. Saya mula berkenalan dengannya sewaktu bertemu sekali lagi pada majlis yang dianjurkan oleh sepupu saya. Ibu saya pula banyak berkongsi dengan saya mengenai keperibadian Anis.

“Saya kemudiannya menunaikan solat sunat istikharah untuk meminta petunjuk bahawa Anis merupakan calon isteri yang sesuai untuk saya.

“Keesokannya, saya kongsikan kepada ibu mengenai keputusan saya untuk memperisterikan dia dan memintanya untuk menghantar cincin kepada Anis,” ujar Zalif yang percaya bahawa Anis merupakan pilihannya yang tepat.

Zalif dan Anis bertunang pada 20 Ogos lalu dan dijadualkan bernikah pada 26 Februari tahun hadapan.