Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, disahkan positif COVID-19.

Perkara itu disahkan selepas Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, mendapat keputusan ujian saringan yang dijalaninya malam semalam.

Beliau yang mesra sebagai Tok Pa, dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu pada jam 10.30 malam semalam untuk pemantauan.

Pejabat Menteri di JPM (Ekonomi) menerusi kenyataan media, berkata Mustapa menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur, pagi semalam.

"Susulan itu, Mustapa turut memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara terbabit.

"Beliau turut memohon semua pihak berdoa semoga urusan masing-masing dipermudahkan Allah SWT," kata kenyataan itu lagi.

Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Menurut kenyataan itu, pada 1 Januari lalu, Mustapa turut menjalani ujian saringan COVID-19 dan keputusannya negatif.

Sumber: BH Online