Laman Utama
“Tolong Jangan Marah Nabil… Kesian Dia” - Raisa Tak Kecil Hati, Akui Takut Cakap Dalam Bahasa Indonesia Ketika Jadi Juri GV9
Penyanyi Indonesia, Raisa mengakui dia lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris berbanding Indonesia ketika menjadi juri jemputan di konsert minggu kelapan Gegar Vaganza 9 (GV9) pada Ahad lalu.
Menurut Raisa, dia berasa bimbang penyampaiannya menggunakan bahasa ibundanya ketika memberi komen kepada peserta GV9 disalah erti.
Raisa berkata bahawa dia menggunakan bahasa Inggeris kerana bimbang jika makna berbeza jika menggunakan bahasa Indonesia.
"Sejujurnya saya takut salah cakap kerana kadang-kadang ada maksud bahasa Indonesia dan Malaysia yang berbeza. Saya takut kalau komen dalam bahasa Indonesia akan kurang tepat dan jadi salah.
“Bagi saya, kalau cakap bahasa inggeris akan lebih tepat dan tak salah erti. Tapi pihak produksi ada beritahu tak apa kalau saya nak cakap bahasa Indonesia,” katanya.
Penyanyi lagu Kali Kedua itu ditemui ketika sidang media Konsert Raisa Live In Kuala Lumpur di Sunway Putra Hotel pada Selasa.
Raisa turut menjelaskan dia tidak terasa atau mengambil serius dengan usikan pengacara Nabil Ahad yang mengajuknya bercakap dalam bahasa Inggeris ketika memberi komen kepada Hazrul Nizam.
Dalam pada masa yang sama Raisa turut memohon agar netizen Malaysia tidak marah atau menghentam Nabil kerana usikan tersebut.
"Keesokan hari, saya ada jumpa Nabil di radio Era FM, tapi saya sendiri tak ingat apa yang terjadi sebab Nabil cakap terlalu cepat. Tolong jangan marah Nabil… kesian dia,” ujarnya lagi.
Nabil ketika dihubungi Gempak menjelaskan dia dan penyanyi itu sudah pun bertegur sapa sewaktu di belakang pentas lagi, malah jelasnya Raisa turut menganggap gurauan boleh membantu menjadikannya lebih selesa.
Terdahulu, nama Nabil menjadi perbualan netizen di seluruh media sosial susulan gurauannya mengenai komen dalam Bahasa Inggeris yang diberikan Raisa kepada persembahan Hazrul Nizam.
Netizen juga menganggap usikan itu agak melampau sehingga ada yang mendakwa Raisa kelihatan kurang selesa dengan gurauan tersebut.
Sementara itu, Raisa memberitahu bahawa dia teruja untuk mengadakan konsert pertama kali di Kuala Lumpur.
"Ini pertama kali konsert di Kuala lumpur saya teruja datang sini. Tapi keluarga pernah duduk sini dan saya sempat jalan-jalan sini. Tapi itu kali 7 tahun lepas.
"Saya sebelum ini pernah di Penang dan Kota kinabalu tapi untuk ke Kuala Lumpur masih belum pernah," tambahnya.