BERITA
Tragedi Gunung Rinjani: Jenazah Abang Ipar Riezman Khuzaimi Selamat Dikebumikan
Jenazah pendaki Malaysia, Rennie Abdul Ghani, 57, yang meninggal dunia selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat, Sabtu lalu, selamat dikebumikan, pagi ini.
Selamat Dikebumi
Suasana sayu dan pilu mengiringi pengebumian Allahyarham yang juga abang ipar kepada pelakon, Riezman Khuzaimi di Tanah Perkuburan Islam Mutmainnah, Cahaya Masai, Pasir Gudang, pada 7.20 pagi.
Lebih 150 orang termasuk ahli keluarga, saudara, jiran dan kenalan, hadir.
Sebelum itu, jenazah Rennie disembahyangkan selepas solat Subuh.
Solat jenazah Allahyarham diimamkan anak sulungnya, Mohamad Akashah Rennie, 29, di Surau Raudhatul Jannah, Taman Sierra Perdana, Masai, di sini.
Allahyarham yang bekerja sebagai jurutera meninggalkan seorang balu, Mastura Tawap, 53 dan tiga anak iaitu Mohamad Akashah, 29; Syafaatul Amirah, 28 dan Anisa Sofea, 20.
Terdahulu, van yang membawa jenazah Allahyarham tiba di perkarangan rumah di D'Sierra Ville, Taman Sierra Perdana di sini, kira-kira 3 pagi.
Sebelum itu, jenazah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dari Lombok, Indonesia.
Terdahulu, media melaporkan jenazah Rennie selamat dibawa keluar dari lokasi kejadian pada 8.30 malam, Ahad lalu (waktu Malaysia) dan tiba di Hospital Bayangkara Mataram, pada 11 malam.
Allahyarham dilaporkan maut selepas terjatuh di laluan Torean, Gunung Rinjani ketika melakukan pendakian di gunung berkenaan.
Pihak taman negara menjelaskan mangsa dilaporkan terjatuh di kawasan Banyu Urip.
Mangsa sebelum itu memulakan pendakian melalui laluan Sembalun pada 1 Mei, bersama kumpulan 23 pendaki.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video