Gara-gara mempunyai trauma pada kapal terbang, bekas vokalis band ST12, Charly Van Houten mendedahkan dia terpaksa menolak lebih 50 undangan menyanyi yang menuntutnya menaiki pesawat termasuk di Malaysia dan Amerika Syarikat.

Kata Charly, 43, yang kini anggota kumpulan Setia Band, trauma tersebut dialami selepas melihat banyak kes pesawat terhempas dan maut ketika melakukan penerbangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Trauma pesawat terhempas

“Lebih 50 undangan untuk menyanyi di Indonesia yang melibatkan perjalanan jauh menaiki kapal terbang terpaksa saya tolak. Termasuk dua persembahan di Amerika Syarikat dan beberapa jemputan di Malaysia. Sebab memang saya takut naik pesawat.

“Ini kerana saya mempunyai trauma. Trauma yang saya alami adalah selepas melihat banyak kes kapal terbang yang maut dan terhempas sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Charly berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media konsert ST12 Reunion 20 Tahun Charly Berkarya yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur pada Selasa.

Lawan trauma untuk peminat Malaysia

Ditanya bagaimana dia mengatasi trauma tersebut sehingga mampu hadir pada sesi sidang media berkenaan, Charly berkata sudah tiba masanya untuk dia lawan dengan rasa takut itu selain mahu memenuhi permintaan peminat.

“Saya sangat memerlukan waktu yang sesuai untuk menaiki kapal terbang, jadi saya sanggup buat untuk Malaysia kerana saya rasa sudah sampai waktunya, malah ramai peminat yang minta saya datang ke sini untuk buat konsert.

“Akhirnya berjaya juga sampai dengan selamat. Terima kasih juga kepada pihak penganjur kerana berjaya memujuk saya dan band untuk buat konsert di sini.

"Waktu saya naik kapal terbang ke Malaysia tempoh hari, saya berselawat dalam kapal dan pegang tasbih kerana masih takut. Apa pun kami akan pastikan peminat akan berpuas hati dengan persembahan kami nanti,” tambahnya.

Persediaan konsert

Dalam masa sama, Charly berkata persediaan menuju hari konsert berada dalam keadaan baik dan rapi.

“Tujuan kami membuat press conference tiga bulan lebih awal agar kami ada kematangan (persediaan) daripada segala aspek termasuk sudut promosi, konsep dan sebagainya. Kami akan berikan semaksima mungkin.

“Kami mesti buat yang terbaik untuk penonton Malaysia, sebab belum tentu akan ada lagi untuk yang kedua atau seterusnya. Persediaan semua setakat ini berjalan dengan lancar, harapnya sampai ke hari konsert dipermudahkan,” tambahnya.

Konsert

Konsert yang dianjurkan oleh Menara Network Sdn Bhd bakal menggabungkan band yang dianggotai Charly ketika ini iaitu Setia Band dan band terdahulu yang di anggotainya iaitu ST12.

Selain ST12 dan Setia Band, konsert berkenaan turut mengundang penyanyi dari Malaysia iaitu Jaclyn Victor dan Ezad Lazim sebagai penyanyi jemputan.

Konsert ST12 Reunion 20 Tahun Charly Berkarya bakal berlangsung pada 11 Mac 2023 dan memilih Stadium Arena Bukit Jalil sebagai lokasi.

Tiket sudah mula dibuka kepada orang ramai bermula 20 Disember 2022 dan boleh didapati di https://www.ticket2u.com.my. . Tiket bermula serendah harga RM99, RM152, RM252, dan RM282.