Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

#Travelmana: Hampir 100,000 Pelancong Malaysia Bercuti Ke Selatan Thailand!

Gempak
16/09/2024 23:25 MYT
Hampir 100,000 pelancong Malaysia memanfaatkan cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Hari Malaysia untuk bercuti di wilayah Selatan Thailand, menyumbang lebih daripada 1 bilion baht (100 baht = RM12.95) kepada ekonomi tempatan.

BERITA TRENDING: Long Weekend! 2.2 Juta Kenderaan Keluar Ibu Kota, Lebih Tinggi Dari Cuti Hari Raya

BERITA TRENDING: Hat Yai Syurga Makanan - Gadis Ini Kongsi Tip Dan Itinerari Makan-Makan Di Hat Yai

BERITA TRENDING: Lelaki Ini Buru Makanan Halal di Hat Yai... 3 Hari 2 Malam, Naik ETS Je Dari KL!

BERITA TRENDING: How We Went to Krabi for 4D3N with Only RM550


Presiden Persatuan Hotel Hat Yai Songkhla, Sittipong Sitthipatprapha berkata, lebih 36,000 pelancong Malaysia memasuki Wilayah Songkhla melalui tiga pintu masuk utama, iaitu Sadao, Dan Prakob, dan Padang Besar pada 14 September lepas dengan kesesakan dilaporkan bermula seawal 5 pagi hingga 11 malam, terutama di kawasan Hat Yai.

"Tinjauan pihak berkuasa di Wilayah Selatan Thailand menunjukkan bahawa sepanjang cuti panjang ini - Jumaat, Sabtu, Ahad, dan Isnin - lebih 100,000 pelancong dari Malaysia telah mengunjungi Selatan Thailand, terutama Hat Yai, Songkhla, serta wilayah berdekatan seperti Phatthalung, Trang, dan Krabi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.





Beliau juga memaklumkan bahawa lebih 400 hotel dengan lebih 30,000 bilik telah ditempah penuh sepanjang cuti ini, dengan anggaran pendapatan lebih daripada 1 bilion baht.

Sementara itu, Roosfa Hashim, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berasal dari Bandar Baru Bangi berkata, beliau telah mengunjungi Selatan Thailand sejak 30 tahun lepas ketika melakukan kajian untuk Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Jarak perjalanan yang dekat, harga penginapan yang berpatutan, serta mudahnya mendapatkan makanan halal menjadikan Selatan Thailand destinasi pilihan utama bagi pelancong Malaysia. Secara keseluruhannya, melancong ke Selatan Thailand adalah mudah, murah, serta menawarkan keselesaan dan kepuasan," katanya.

Roosfa yang ditemui di Pattani menambah bahawa destinasi popular bagi pelancong Malaysia termasuk Hat Yai, Krabi, dan Phuket kerana jaraknya yang dekat serta adanya kemudahan pengangkutan awam yang cekap, baik melalui jalan darat mahupun udara.

Ramlah Abdul Rashid, seorang guru dari Sabah pula berkongsi pengalamannya yang suka berkunjung ke Pattani kerana terdapat banyak makanan halal yang enak dan murah.

"Tomyam dan sup di sini lebih asli dan sedap, selain makanan laut yang segar. Nasi Kerabu Diraja di sini juga sangat lazat dan disajikan dengan persembahan yang menarik,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa di Pattani, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional, termasuk kuih-muih seperti Kuih Tepung Bongkol dan Kuih Cek Mek Molek yang lembut dan enak. - Bernama
#Thailand #Cuti #Travelmana #Pelancong #Songkhla #Weekend #Hat Yai #Selatan