Keadaan kesihatan pelakon senior AR Badul kembali sihat dan normal selepas menerima serangan jantung major pada Februari yang lalu.

Menurut AR Badul, dia perlu menjaga pemakanan serta mengambil ubat mengikut masa yang telah ditetapkan.

"Sekarang saya kembali kepada kehidupan normal. Alhamdulillah, keadaan kesihatan saya sudah sihat.

"Namun saya perlu mengambil ubat mengikut masa yang betul dan pemakanan saya harus dijaga. Saya juga perlu menghadiri fisioterapi malah tidak dibenarkan untuk merokok," katanya kepada HLive.

Tambah AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Arman Ramlie, dia berpendapat individu yang menyebarkan berita palsu mengenai kematiannya seorang yang tidak boleh dinasihati.

"Mengenai cerita viral ini, saya menganggap tukang viral ini berpendapat orang seni seorang yang senang dipersendakan serta dipermainkan.

"Dia tahu orang seni tidak akan marah atau berkecil hati.

"Sebelum ini pernah terjadi kepada arwah Saleem juga. Ketika itu dia masih bernyawa namun disebarkan dan dia sudah meninggal dunia.

"Perkara ini susah untuk dinasihatkan kepada tukang viral kerana mereka ini diibaratkan baling batu sembunyi tangan.

"Jika saya seorang polis, saya akan terus menangkap individu tersebut," katanya lagi.

Untuk berita hiburan yang padat dan informasi, jangan lupa saksikan HLive! yang bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Sabtu pada jam 8.30 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).