Pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas memohon maaf susulan tular dakwaan seorang lelaki diberi layanan tidak adil oleh kakitangannya ketika mengunjungi bangunan tersebut pada Jumaat.

Pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas menerusi satu kenyataan rasmi membuat permohonan maaf secara terbuka di akaun Facebook rasminya.

Jelas kenyataan tersebut, pihak mereka sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Pihak Pengurusan Operasi Lawatan Menara Berkembar PETRONAS ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.

“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera.

“Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” maklumnya.

Terdahulu, lelaki itu mendakwa kakitangan menara berkenaan bersikap tidak adil dan memberi layanan istimewa dengan mendahulukan satu pasangan ‘mat salih’ untuk menaiki Skybridge KLCC, meskipun dia telah mendapat slot dan menunggu lebih awal.

Menurui hantaran tular yang dimuat naik, lelaki tersebut telah beratur pada jam 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot pukul 4 petang bagi menaiki menara tersebut.