Polis mengesahkan sudah menerima laporan daripada pelakon dan pelawak Lan Pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad berhubung satu kejadian pergaduhan yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya telah terkesan satu video tular membabitkan seorang pelakon yang dirakam oleh orang awam di lokasi kejadian.

Menurut beliau, polis hanya menerima laporan daripada pelawak terbabit sementara penunggang motosikal masih belum tampil (sehingga semalam).

Dalam kejadian berlaku pada 1 Mei lalu, jam 6.30 petang, yang mana video berdurasi 23 saat itu menunjukkan artis terbabit berselisih faham dengan seorang penunggang syarikat penghantar makanan di hadapan kedutaan Russia.

"Pergaduhan itu dikatakan tercetus akibat selisih faham di jalan raya.

"Polis meminta kerjasama individu yang terbabit untuk tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dijalankan," katanya.

Selain itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Terdahulu, tular video Lan Pet Pet memukul seorang lelaki dipercayai penghantar makanan menarik perhatian netizen selepas tular di media sosial sejak malam Isnin lalu.

Menerusi video yang dirakam pengguna jalan raya itu, pelawak dan pelakon dari kumpulan Senario itu dilihat merangkul leher lelaki terbabit dan memukul kepalanya.

Dalam masa sama, Lan turut ditenangkan oleh tiga lagi lelaki daripada terus memukul lelaki itu dalam kejadian yang berlaku di tepi jalan raya itu.