Sejak semalam tular beberapa keping foto suasana di Terminal Feri Kuala Perlis, yang sesak dengan pengunjung melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Difahamkan kebanjiran orang ramai itu disebabkan beberapa perjalanan feri ke Pulau Langkawi, Kedah ditunda beberapa jam.

Disebabkan itu ratusan pengunjung berkumpul di luar terminal kerana jumlah pengunjung di ruangan menunggu sudah mencapai kapasiti maksimum.

Foto tular tersebut mencetus kebimbangan di kalangan warganet dan rata-ratanya berpendapat ramai sudah lupa PKPP belum berakhir.

“Adoi beraninya ‘depa’ ni duk bersesak-sesak. Konon pakai ‘mask’ ingat tak boleh berjangkit Corona Virus? Lupa kot virus tu merebak melalui sentuhan juga.

“Cukuplah kalau seorang ja yang positif kat situ…habis semua!

“Nak bawa penyakit masuk Pulau Langkawi pulak ka? Cukuplah sorang Mat Saleh pakai gelang pink terlepas masuk sini,” antara komen-komen warganet.

Terdahulu menurut laporan media, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya menghantar seramai 12 anggota keselamatan bagi mengawal keadaan di terminal berkenaan.

"Keadaan mula sesak antara 9.45 pagi hingga 10.45 pagi memandangkan perjalanan feri di sebelah pagi dari Kuala Perlis ke Pulau Langkawi tertunda atas faktor air cetek.

"Atas sebab itu pengunjung mula memenuhi terminal disamping kapasiti kerusi di ruangan menunggu adalah terhad sehingga ramai beratur di luar," katanya semalam (Khamis).

Wari berkata, bagaimanapun keadaan mula terkawal pada tengah hari apabila air mula pasang dan beberapa feri memulakan perjalanannya.

"Sehingga 2.30 petang tadi keadaan sudah mula terkawal dengan anggota keselamatan bertindak memainkan peranan agar pengunjung kekal mematuhi SOP," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan keadaan sedemikian berlaku kerana faktor cuti umum sehingga ramai pengunjung memulakan aktiviti persendirian.