Bukan senang untuk terima anugerah penghargaan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun seekor anjing baka Unit Anjing Pengesan (K9) telah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi anjing pertama menerima ‘Jasamu Dikenang’ oleh kontijen Polis Pahang

Berasal dari baka German Shepherd Anjing bernama Lao Wu ini menerima pingat berkenaan selepas mengesan seorang suspek curi kenderaan yang melarikan diri di ladang kelapa sawit di Felda Sungai Tekam, Jerantut, pada 14 November tahun lalu.

Menurut pengendali Lao Wu iaitu Sarjan S Sanmugam, anjing itu sebenarnya baru berusia lima tahun lapan bulan dan berasal dari China.

“Kami memulakan operasi mengesan suspek yang dipercayai telah cedera mulai jam 1.45 pagi dan hanya 50 meter dari lokasi permulaan, Lao Wu menemui baju-T berlumuran darah yang dipercayai ditinggalkan suspek selepas mengelap darah pada kakinya.

"Lao Wu kemudiannya membawa mereka ke ladang kelapa sawit sehingga berjumpa sungai sekitar jam 4 pagi dan tindakan Lao Wu mahu meredah sungai itu menyebabkan mereka percaya suspek telah berada di seberang sungai," katanya.

Tambahnya, telahan haiwan itu ternyata tepat kerana suspek akhirnya ditemui di belakang rumah sekitar jam 10.45 pagi.

Jelas Sanmugam lagi, dia telah mengendalikan Lao Wu yang diperoleh dari China, sejak 2015.

"Lao Wu juga merupakan anjing pengesan keempat saya dalam tempoh 29 tahun berkhidmat dengan unit K9," katanya.

Sumber: Bernama