Isteri kepada penyanyi Tajul Ariff iaitu Nurul Shamieza Eddie, 25, mendedahkan antara salah satu sebab mereka nekad untuk merahsiakan perkahwinan adalah kerana pemergian arwah ayahnya.

BACA: "Takut Hilang Peminat..." - Tajul Dedah Sudah 2 Tahun Berkahwin, Isteri Kini Hamil 8 Bulan

Menceritakan perkara itu, Shamieza berkata dia dan Tajul, 23, berkahwin sejurus selepas dua minggu arwah meninggal dunia akibat penyakit kanser.

"Lepas dua minggu arwah ayah meninggal, kitorang nikah terus. Memang nikah sahaja kat pejabat agama tak ada majlis, tak ada hantaran, tak ada dulang. Hanya buat doa selamat saja, buat apa yang wajib.

"Salah satu sebab tak nak bagitau orang sebab abah baru meninggal, jadi Ica (panggilan untuk diri) minta tak payah hebohkan cukup la keluarga kita tahu ja dulu.

"Dan Tajul pun nak fokus karier dia yang baru dia bina dulu. Tapi lama-lama jadi selesa orang tak tau pasal privasi," tulisnya di Instagram Stories.



Mengimbas kenangan ketika arwah masih ada, Shamieza menyatakan Tajul sempat bertemu dengan ayahnya sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, ketika dia memohon restu hubungan dengan Tajul, arwah sempat menyuarakan kepada dirinya untuk segera berkahwin.

"Seminggu sebelum dia masuk ICU tak sedarkan diri ni, Ica ada bawa Tajul kenalkan dekat abah. Sebelum abah tinggalkan kitorang, Ica minta izin restu hubungan Tajul dan Ica.

"Abah cakap kahwin la cepat, menitik air mata dia masa tu sambil cakap, kali pertama nampak dia menangis sebab Ica.

"Abah..Ica minta maaf tak dapat bahagiakan abah sebelum abah pergi dan tengok kitorang nikah tapi Ica dah tunaikan permintaan abah.

"Mesti abah seronok kalau tahu anak Ica dengan along dah dua orang anak sekarang," tulisnya lagi.

Tajul berkahwin dengan Shamieza pada tiga tahun lalu. Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adriana Carisa, 1, dan Adrian Rifqy yang dilahirkan pada 6 Mei lalu.