Dunia Hollywood sedang menyaksikan sebuah kes berprofil tinggi apabila pesohor seni mereka, Johnny Depp dan bekas isterinya, Amber Heard sedang ‘berperang’ di mahkamah.

Mereka bercerai pada 2018 sebelum Heard mendakwa telah dikasari dan dipukul Depp sehingga membuat karier aktor itu malap selepas laporan yang dikeluarkan sebuah akhbar menang di mahkamah.

Kini, Depp berada di mahkamah dan selesai memberi keterangan selepas menyaman Heard atas dakwaan memfitnah berdasarkan laporan yang dikeluarkan media tersebut.

Dalam keterangannya di mahkamah di Fairfax, Virginia, bintang berusia 58 tahun itu mengatakan tujuan dirinya membawa kes ke mahkamah adalah untuk memberitahu kebenaran.

“Tidak pernah dalam hidup saya mengasari atau memukul Heard seperti yang didakwa. Saya juga tidak pernah memukul wanita lain,” kata Depp yang mengaku terkejut selepas mengetahui dakwaan Heard terhadapnya.

Sejak itu, Depp berikrar untuk memberitahu perkara sebenar yang disifatkan penting bukan sahaja buat dirinya tetapi dua anaknya, Lily-Rose, 22, dan Jack, 20.

“Sejak melihat tidak ada satu pun kebenaran yang berpihak kepada saya (mengasari Heard) saya rasa bertanggungjawab untuk buka mulut.

“Saya menunggu enam tahun untuk ini. Saya lakukan ini bukan untuk diri sendiri tetapi juga untuk anak anak saya.

“Apa yang berlaku, segala tuduhan tidak berasas telah merosakkan reputasi dan karier saya. Jadi saya hanya berminat untuk mencari kebenaran,” luah Depp lagi seperti dilaporkan People.

Sementara itu, memetik laporan DailyMail.uk, Depp menceritakan pada awal perkenalannya dengan aktres berusia 35 tahun itu semuanya indah.

Beliau mengatakan jatuh cinta kepada Heard selepas melakukan babak cium dalam filem The Rum Diary pada tahun 2011.

“Pada awalnya semua sangat indah. Dia seorang yang sangat mengambil berat, baik hati, bertimbang rasa, bijak, lucu dan kami berkongsi banyak minat yang sama,” akui Depp.

Namun bintang The Pirates of the Caribbean ini mendakwa segalanya berubah selepas beliau ‘melanggar’ peraturan setelah mereka berkahwin.

“Sejak berkahwin, Heard melayani saya dengan baik. Adalah menjadi rutin buatnya apabila saya pulang ke rumah, dia akan menyambut saya dengan membukakan kasut dan memberi air kepada saya.

“Namun satu hari saya telah melanggar peraturan ini. Saya membuka kasut sendiri selepas melihat dirinya agak sibuk. Dan saya lakukannya dengan ikhlas.

“Heard kemudian bengang dan marah kerana tidak menunggu dia melakukan rutin tersebut. Dan sejak itu sedikit demi sedikit sikap buruk serta kasarnya terserlah,” kenang Depp.

Depp dan Heard berkahwin pada 2015 dan bercerai tiga tahun kemudian iaitu sekitar 2017. Sejak itu, pasangan yang pernah dilihat sangat serasi dan dicemburui tersebut tidak memiliki hubungan baik sehingga Heard mendakwa hidup merana bersama Depp kerana sering mengalami kekesaran dalam rumah tangga.