Ada pelbagai cara pengusaha produk melariskan jualannya termasuklah membuat gimik ekstrem misalnya menggunakan aset tubuh.

Namun, bagi pelakon dan pengasas Jamu Mutyara, Tya Arifin, dia punyai target pasaran sendiri dan memilih untuk terus menjaga nama baik diri dan bisnes yang diusahakan.

"Bagi saya setiap individu yang mengeluarkan produk mempunyai ‘target market’, cara pemasaran sendiri selain tahu apa yang mereka mahukan. Setiap dari kita berbeza dan saya hormati. Mungkin itu cara mereka.

"Saya tidaklah sokong seratus peratus cuma saya hanya nak fokus kepada diri sendiri dan bukan nak berniaga untuk tempoh pendek. Saya tahu kualiti produk saya.

"Saya juga tak mahu fikir hanya nak viral, tapi lebih kepada penjenamaan itu sendiri. Jadi kenalah berfikir dalam skop yang lebih luas. Saya sendiri ada impian untuk bawa Mutyra ke peringkat yang lebih besar," katanya.

Tya berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Produk & Memperkenalkan Dutanya, Anna Jobling di Wisma Mutyara di Puchong Utama, Selangor.

Keluarga mentua Tya Arifin dikenali ramai

Dalam masa sama, Tya menafikan punyai keterbatasan untuk melakukan gimik ‘mengundang’ kerana berada di dalam keluarga yang dikenali ramai.

"Sebelum ini pun saya aktif berlakon di Indonesia. Malah kalau nak diceritakan mengenai kisah sensasi saya di sana pun memang jarang. Sebab saya hanya fokus kerja sahaja, memang niat nak bantu keluarga. Saya bawa niat itu sampailah sekarang.

"Setakat ini tiada pun batas daripada pihak mentua. Cuma ia berbalik kepada diri sendiri untuk saya ambil berat mengenai perkara sedemikian. Selain itu saya kena tahu batas sebagai isteri dan ibu.

"Saya ambil jamu sejak dulu. Kalau nak jadi orang lain rasa macam tak kena. Hujung-hujung mungkin saya akan jadi diri sendiri. Kalau bukan diri saya, memang tak kan buat begitu," tambahnya.

Jamu Mutyara tanpa gula

Berkongsi mengenai Jamu Mutyara dengan formulasi berbeza tanpa gula kini, jelas Tya ini adalah satu lagi kejayaan penting buat jenama berkenaan.

"Kita tahu ramai wanita di luar sana yang memerlukan produk yang menepati pilihannya. Seperti di Jamu Mutyara kami sentiasa mengambil berat akan setiap maklum balas pengguna.

"Melalui formulasi baharu ini kami hasilkan Jamu Mutyara tanpa gula. Namun di sebalik produk baharu ini apa yang penting khasiat yang tersedia dalam setiap produk Jamu Mutyara masih sama," katanya.

Bersempena pelancaran produk terbaharu ini juga, ia turut dijual dengan harga pengenalan RM69 bermula 18 Ogos ini sehingga 22 Ogos depan.




Foto: Zetty Nurhusna