Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Udit Narayan Terima Bayaran Cecah 7 Angka Jayakan Konsert Di Kuala Lumpur

Khairil Khusyairi
24/09/2024 13:25 MYT
Penyanyi Bollywood terkenal Udit Narayan menerima bayaran mencecah jutaan ringgit bagi Konsert Udit Narayan Live in Kuala Lumpur, Disember depan.

Bayaran Cecah Jutaan Ringgit

Penganjur VVST Digital Creation, Gunasegaran Palanisamy berkata, pihaknya sanggup mengeluarkan kos tersebut demi memberikan hiburan bertaraf antarabangsa buat pencinta lagu Bollywood di negara ini.

“Ya tak dinafikan untuk membawa masuk Udit Narayan menelan belanja yang tinggi.

“Kalau boleh kami tidak mahu dedahkan kerana ramai yang akan terkejut setelah mengetahui kos sebenar.

“Udit adalah seorang legend dan pada konsert itu nanti, dia juga akan membawa ‘team’ nya. Jadi kos jutaan ringgit itu termasuk rombongannya sekali,” katanya pada sidang media Konsert Udit Narayan Live In Kuala Lumpur, di Intan Square, pada Selasa.

Empat Bulan Pujuk Udit

Sementara itu, Pengarah First Pictures Sdn Bhd, Dzulhilmi Zainol, pula berkata pihaknya sanggup membawa masuk pelantun lagu hits Kaho Naa Pyaar Hai itu demi kepuasan peminat biarpun keuntungan tidak besar.

Malah Dzulhilmi turut mendedahkan pihaknya mengambil masa selama empat bulan untuk mengundang Udit.

“Kami mula melamar Udit sekitar Oktober tahun lalu. Walaupun beliau satu nama besar dalam industri muzik Bollywood, tapi segala proses berjalan dengan mudah.

“Kami mendapat persetujuan dengan Udit pada April tahun ini. Kalau ikutkan jadual seninya sangat padat kerana ada beberapa konsert besar di negara lain, tapi kami berjaya dapatkan persetujuannya,” katanya.


Membawakan 40 seleksi lagu popularnya, penyanyi berusia 68 tahun itu bakal beraksi di Mega Star Arena pada 28 Disember depan.

Lebih menarik, tiga penyanyi Bollywood dan seorang penyanyi tempatan turut bersama Udit yang akan diumumkan kelak.

Tiket Konsert Udit Narayan Live In Kuala Lumpur 2024 sudah mula dijual bermula hari ini pada harga RM148 hingga RM1466.

ARTIKEL BERKAITAN: Selain KL, Udit Narayan Akan Turun Pulau Pinang 28 November Ini

#Penyanyi #Konsert #Bollywood #Udit Narayan