Pengacara dan personaliti televisyen Datuk Aznil Nawawi berkongsi kisah menyentuh hati seorang remaja lelaki yang dipanggil M yang sedang menjalani rawatan di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di ibu kota.

Menyelami kesulitan yang dilalui M, dedah Pak Nil, remaja yang ingin dibantunya untuk keluar dari belenggu najis dadah itu baru-baru ini bertindak agresif apabila kehendaknya untuk mendapatkan wang dari keluarga terhalang.

M berubah sikap menjadi pemarah dan hampir mencederakan ahli keluarganya sendiri hingga hampir berlaku kecelakaan jalan raya.

"Saya minta fail anak ini dari pihak AADK, mahu dekati keluarganya. Apabila menghubungi keluarganya, baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke hospital berlaku kekasaran hingga hampir berlaku kemalangan jalan raya. Dia marah dan menjadi ganas.

"Kakaknya merakamkan audio ketika mereka dalam kenderaan bersama keluarga dan menghantarkan kepada saya.

"Rupa-rupanya keganasan ini sudah lama berlaku, semata-mata nak duit M sampai mengugut dan memukul dinding atau pintu. Adakalanya sampai mencederakan kakak dan ibunya.

"Cerita kakaknya M menyimpan gunting di tempat tidurnya dan pada dirinya. Bagi saya ia satu situasi yang membahayakan diri dan orang sekelilingnya. Kakaknya sudah tak sanggup lagi untuk membantunya, jadi apa yang boleh saya buat," kata Aznil.

A post shared by Datuk Aznil Hj Nawawi (@aznilnawawihm)


Terdahulu, Aznil bertemu M dalam satu sesi kaunseling bersama AADK dan merakamkan sesi tersebut secara sembunyi.

"M (bukan nama sebenar) anak yang berusia 21 tahun terlibat dengan najis dadah kesan daripada tekanan hidup ditipu oleh Macau Scam. Untuk lari dari dihimpit masalah, dia mendekati dadah.

"Kini M berubah sama sekali tidak seperti yang dulu. M diletakkan dibawah pemantauan @aadk.malaysia untuk membantunya, doakan saya agar istiqomah membantu M," tulis Aznil menerusi entri di Instagramnya.

Aznil menerusi program Ada Aznil Di Hati Kamu bekerjasama dengan AADK untuk mendekati anak-anak dan keluarga di Malaysia dalam menangani isu berkaitan najis dadah.