Umat Islam yang telah menonton konsert kumpulan muzik British, The 1975 dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada Allah SWT sebagai menzahirkan perasaan kesal walaupun mereka tidak dikira melakukan dosa.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun mereka yang menonton tidak menjangka tindakan tidak bermoral oleh penyanyi kumpulan tersebut, mereka tetap perlu memohon keampunan daripada Tuhan.

"Perlu diingat, agama Islam tidak sama sekali menentang hiburan termasuk konsert muzik, drama, filem dan seumpamanya. Yang ditentang dan dilarang adalah hiburan dan apa juga aktiviti seni yang boleh merosakkan fikiran, kelakuan penonton atau peminat.

"Oleh itu, umat Islam yang pergi menonton konsert tersebut dinasihatkan supaya memohon keampunan daripada ALLAH SWT, walaupun perbuatan tidak bermoral itu dilakukan tanpa dijangka di hadapan mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Sabtu, kerajaan Malaysia menghentikan festival muzik di Sepang dan menyekat kumpulan muzik The 1975 daripada melakukan persembahan kerana ‘tindakan tidak senonoh’ mereka.

Insiden pada Jumaat lalu telah mencetuskan kekecohan yang bukan saja menimbulkan kemarahan kerajaan, tetapi komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkata, tindakan vokalis Matty Healy dan pemain bass Ross MacDonald boleh mendedahkan mereka kepada diskriminasi.

Susulan daripada itu, penganjur Good Vibes Festival 2023 telah diminta memberi penjelasan susulan aksi kurang sopan dalam konsert yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu.

Sumber: Sinar Harian

BACA: Makan Daging Mentah, Pijak Bendera Korea, Raba Kemaluan Sendiri… Ini Hal-Hal Jijik Yang Sering Dilakukan Vokalis The 1975 Ketika Buat Persembahan

BACA: The 1975 Pada Asalnya Tak Dibenarkan Buat Persembahan... Tapi Penganjur & Pengurus Buat Rayuan​