Berita
Undi 18 Tahun: Pelik! Tidak Ramai Anak Seni Yang Bersuara
Semalam satu sejarah tercipta di Dewan Rakyat apabila barisan Ahli Parlimen memberikan sokongan majoriti lebih dua pertiga untuk meluluskan Rang Undang-Undang (Pindaan) 2019 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri tun Dr Mahathir Mohamad.
Rang Undang-Undang tersebut adalah untuk meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18.
Selain itu, ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.
Namun begitu tidak ramai golongan artis dan selebriti yang menyatakan sokongan mahupun bangkangan secara terbuka tentang perkara yang penting untuk masa depan negara ini.
Dua pelakon lelaki yang menyatakan sokongan terbuka tentang Undi 18 adalah Ben Amir dan Hisyam Hamid.
Menurut Ben Amir dalam satu entri di Instagramnya, dia menyokong Undi 18 kerana menurutnya belia sekarang sudah cukup matang, Mereka berhak untuk mengundi seperti mana mereka berhak untuk bekerja, berkahwin, memandu, menyertai tentera, bomba atau polis.
"Right now we have to give the youth of voice. Angkat isu mereka for a better future. Saya Ben Amir dan saya bersetuju dengan Undi 18 tahun," katanya dalam satu video pendek di Instagramnya.
Pelakon Hisyam Hamid juga turut menyokong Undi 18 tahun ini. Beliau turut memuat naik video pendek di Instagramnya dengan memberikan sebab-sebab sokongannya terhadap perkara tersebut.
"Kenapa kita harus undi pada usia 18 tahun. Antara sebabnya kebanyakan negara di dunia usia minimum untuk mereka keluar mengundi adalah 18 tahun.
"Selain daripada itu akta 1971 juga menyatakan usia dewasa bermula daripada 18 tahun," tambah Hisyam lagi di dalam video tersebut.
Hisyam turut memberi beberapa contoh kenapa dia begitu menyokong undi 18 tahun termasuk usia berkahwin, memandu dan sebagainya.
Kredit Gambar: Instagram
Must-Watch Video