Hiburan
"Untuk Dia Buka Rantai, Itu Soal Hidayah" - Caprice Nafi Pertahan MK
Rapper dan usahawan, Caprice menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan dia mempertahankan rakan industrinya, MK berkaitan isu pemakaian barang kemas yang hangat diperkatakan baru-baru ini.
Menurut Caprice, meskipun anggota kumpulan K-Clique itu sudah dianggap seperti adik sendiri, namun dia tetap menegur kesalahan.
"Saya tidak mempertahankan perbuatan MK, malah saya sudah menghubunginya untuk memohon maaf secara terbuka tentang penggunaan perkataan 'langgar' hukum agama, ramai sudah tonton video dia memohon maaf itu.
"Mungkin ada yang silap faham sahaja, memang saya anggap dia seperti adik, tetapi jika saya memihak kepadanya, sudah tentu saya tidak akan berbuat demikian," jelas Caprice.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 32, berkata demikian ketika ditemui di sidang media Nusa Fest bertempat di Alila Bangsar, Kuala Lumpur petang semalam.
Tambah Caprice, meskipun MK sudah meminta maaf tentang kenyataannya, namun tiada yang boleh memaksa dia membuka rantai kerana itu merupakan soal hidayah.
"Dia sudah maaf untuk kenyataannya, namun untuk dia membuka rantai, itu terpulang kepada dia sendiri apabila mendapat hidayah.
"Kita tidak boleh paksa MK buka rantai, hidayah itu milik Allah dan kita tidak boleh mempertikaikannya," tambah Caprice.
Sebelum ini, MK dikritik selepas mengeluarkan kenyataan yang disifatkan agak keterlaluan apabila mendakwa dirinya memang sengaja 'langgar' hukum demi minatnya yang suka memakai barang kemas.
Bagaimanapun, MK kemudian dilaporkan sudah memohon maaf atas selepas menyedari keterlanjuran katanya itu.
Perkara itu turut dikongsi Caprice di akaun Instagram miliknya.
Must-Watch Video