Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ustaz Kazim Jumpa Gambar Sendiri Separuh Terbakar Dalam Bekas Abu - "Ada Yang Pernah Nampak Gambar Saya Dalam Peti Sami Di Bangkok"

Amri Hassan
01/10/2021 06:45 MYT
Pendakwah terkenal Ustaz Kazim Elias memberitahu pernah menemui sekotak abu berserta sekeping gambarnya yang separuh terbakar di laluan khas untuk ke dewan di Kompleks Pusat Pendidikan Al Barakah beberapa minggu lalu.

BACA: Terpaksa Guna Kerusi Roda, Ustaz Kazim Elias Terkena Buatan Orang?

Dedah Ustaz Kazim, selepas menemui kotak terbabit, keadaan kaki sebelah kirinya membengkak dari bahagian betis hingga ke kaki, menyebabkan beliau sukar berjalan.

"Ramai nak tengok keadaan kaki saya. Sebelah kiri sahaja, bermula dari betis turun ke bawah. Nampak semakin berkurang. Saya harap jangan kena tahan wad, kena operate, saya tak mahu dah.

"Sudah dua minggu saya membuat rawatan Islam, macam-macam ubat dah cuba Alhamdulillah berkesan. Ia tak bengkak, cuma agak sakit bila berjalan atau duduk lama. Kena baring saja.

"Ini pula dijumpai di tempat laluan khas ke dewan tempat saya mengajar di Pusat Pendirikan Al-Barakah. Orang lain tak lalu, untuk saya saja. Jadi, kita jumpa abu dan dalam abu tu ada gambar saya yang dibakar.

"Bila keluar daripada dewan tu baru saya perasan. Selepas daripada itu kaki saya tak boleh berjalan, sentuh pun tak boleh.

"Kaki saya membengkak. Mula-mula kita ingat bisul, rupa-rupanya bukan," katanya dalam sesi siaran langsung bersama Da'i Ahmed malam semalam.

Bagaimanapun, ketika dirawat di hospital, kata Ustaz Kazim, doktor tidak menemui nanah atau darah beku pada bahagian kaki yang membengkak itu.

"Saya tak selesa. Bengkak tak ada tapi kaki saya jadi keras, masa operate nanah tak ada, darah pun tak ada.

"Saya ni ada sakit jantung, jadi perlu makan pencair darah. Sebab tu saya hairan, bila dibelah tak ada darah. Itu yang saya rasa pelik.

"Kadang-kadang kita pun tak tahu apa benda, kita pandang baik pada Allah, ini menghapus dosa kita. Allah Maha Mengetahui.

"Tapi sekatlah macam manapun, saya tetap nak mengajar. Sebab saya selalu beritahu, ubat saya ialah melakukan apa yang saya suka, mengajar orang walau ada orang tak suka.

"Saya tak larat dah operate, duduk berbulan-bulan di hospital, kerja banyak bertangguh, saya tak mahu dah... Tension," ujarnya yang mengakui sukar untuk tidur malam.

Sementara itu, tambah Ustaz Kazim lagi, beliau sebelum ini pernah menemui paku berkarat yang keluar daripada bahagian perutnya ketika mandi dengan air bacaan surah Yasin.

Malah, sebelum ini pun, ada individu yang pernah ternampak fotonya dalam peti khas milik seorang sami di Bangkok, Thailand.

"Ini jarum yang keluar daripada perut saya tahun lepas. Jadi, saya pun tak terfikir... saya mandi masa tu, saya gosok dengan air bacaan Yasin, air bidara dan perahan limau, jarum ni keluar.

"Pernah saya terjumpa seorang abang ni, dia baru balik dari Bangkok ketika itu, katanya berubat dengan sami. Bila buka peti, ada gambar saya dalam tu.. Maknanya ada orang yang buat perubatan tak elok pada saya... Dibuatnya di Bangkok," kata Ustaz Kazim lagi.

Baru-baru ini tular video keadaan terkini Ustaz Kazim yang terpaksa menggunakan topang kaki untuk berjalan.

Malah, beliau turut memerlukan bantuan kerusi roda untuk pergerakan harian di rumah.
#Viral #Ustaz Kazim Elias #Thailand #Gambar #Penceramah #Pendakwah #Bomoh #Kaki #Abu #Jarum #Yasin #Sami
;