Berdepan situasi tayar kereta pecah dan meletop ketika sedang memandu, ia pasti menjadi kenangan sukar dilupakan dalam fikiran bintang utama drama Love Elsa, Uyaina Arshad, 29.

Tersedar bunyi sangat kuat dan menakutkan, pelakon drama, Love Elsa itu bagaimanapun meneruskan pemanduan seperti biasa sampai saat kereta dipandu Uyaina menunjukkan isyarat sudah tidak boleh bergerak lagi.

“Elok je berhenti, saya intai ikut cermin sisi, tahu-tahu tayar dan rabak. Dia dah jadi rambu-ramba tepi tayar tu.

“Tak okay. Sempat la menangis sekejap sebab cuak. Terus call @rajasyahiran (nak call siapa lagi),” kongsi Uyaina tanpa berselindung kelemahan diri tiada pengetahuan arif selok-belok kereta.

A post shared by UA (@uyainaarshad)

Hanya dalam 10 minit, penyanyi, Raja Syahiran, 28, muncul sebagai penyelamat sambil meminta Uyaina memasuki semula kenderaan.

“Saya pulak risau sebab situ jalan sibuk. Banyak sangat kereta, bas, motor laju-laju. Takut benda lain pulak jadi Nauzubillah,” fikir Uyaina mengambil berat soal keselamatan lelaki yang difahamkan merisik dirinya pada Mac lalu.

Syahiran dilihat menerusi gambar dan video dimuat naik di Instagram Uyaina semalam, berusaha menukar tayar bersama seorang lelaki berketurunan Cina turut sudi menghulurkan pertolongan.

Membayangkan kesudahan lebih buruk boleh berlaku, Uyaina meluah perasaan kesyukuran kerana masih diberi pinjaman nyawa daripada Allah.

Dalam pada itu, pengacara ini juga mengaku insiden dijalani semalam berkesudahan sebagai pengajaran besar dalam hidupnya biarpun pahit untuk ditelan.

“Jangan langsung bercakap atau fikir dalam otak atau terdetik dalam hati pasal kereta lain, dalam kereta yang kita tengah pakai sekarang,”

“Kereta tu tahu. Dia akan terus buat hal dan meragam. Percayalah! Dan tentunya, pastikan kita pantau keadaan kereta selalu dan hantar servis bila dah tiba masanya,” nasihat Uyaina.