Penyanyi dan pelakon Azira Shafinaz memaklumkan dia mendapat bimbingan dan rujukan daripada seorang guru agama dalam membawakan watak Ustazah Anna di dalam filem Penunggang Agama 2.

Menurut Azira, dia yang perlu membaca ayat-ayat Al-quran bagi tujuan ruqyah dalam membantu suaminya yang merawat mangsa gangguan syaitan.

“Dekat set kami dibantu oleh seorang guru dan dia banyak menolong saya untuk memperbetulkan ayat-ayat bacaan jadi dari situ sedikit sebanyak dapatkan saya feel karakter Ustazah Anna.

“Ustazah Anna perlu membantu suaminya, Amir untuk meruqyahkan orang kampung yang terkena gangguan tetapi lama-kelamaan, dia sedar bahawa Amir seakan-akan berubah menjadi seseorang yang tidak baik.

“Di situlah tanggungjawab Anna untuk menegur kesalahan-kesalahan suaminya,” kata Azira menerusi program Di Sebalik Tabir Penunggang Agama 2.

Tambah Azira lagi, impiannya bekerja bersama pengarah filem thriller terkenal Malaysia, Shafiq Yusof menjadi kenyataan menerusi karya seram islamik ini.

“Pertama kali masa saya dapat tawaran berlakon Penunggang Agama 1, saya memang excited sebab dah lama saya nak berkerja dengan Syafiq. Saya tahu Syafiq seorang pengarah yang sangat berbakat dan bepengalaman dalam genre seram.

“Ini adalah peluang baik untuk saya sebab saya juga merupakan seorang peminat filem seram,” ujarnya lagi.

Filem sekuel ini dibintangi pelakon hebat seperti Zul Ariffin (Amir), Azira Shafinaz (Anna), Tony Eusoff (Father Michael), Salina Saibi (Huda), Johan As’ari (Hafiz), Dato’ Rahim Razali (Datuk Fawwas), Anna Jobling (Anak Datuk Fawwas), Puteri Nurqaseh (Sarah), Burhan Sidqi (Bakhtiar) dan Sharifah Aisyarha (Anim).

Penunggang Agama 2 mengisahkan rentetan Amir dan Anna yang diganggu oleh Huda akibat dendam lama.

Sementara itu, Amir mula obses dengan kerja sampingannya, iaitu merawat penyakit dan gangguan makhluk halus kerana ganjaran lumayan yang diterima.

Kehebatan Amir dalam menyembuhkan pesakitnya juga turut tular di media sosial dan itu membuatkan dia semakin selesa dengan gelaran Ustaz.

Kehadiran seorang paderi bernama Father Michael telah mencabar ego dan kredibiliti Amir.

Saksikan filem Penunggang Agama 2 yang akan berada di Astro First bermula 19 Oktober 2021.

Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang.

Selain itu, bagi mereka yang ingin menonton Penunggang Agama 1, boleh juga melanggan dua koleksi filem tersebut di Astro First secara kombo (Penunggang Agama 1 dan Penunggang Agama 2) dengan satu harga istimewa RM19.90.