Pelakon Farah Ahmad yang kini hangat dengan drama The Hotel mengambil positif langkah kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada remaja berusia 12 tahun sehingga 17 tahun demi mengekang penularan wabak tersebut.

Menurut Farah yang mempunyai tiga orang anak perempuan iaitu, Dhia Farhana, Thia Farhana dan Mhia Farhana dia menggalakkan anak-anaknya mengambil suntikan vaksin sebelum kembali bersekolah.

“Anak-anak saya termasuk dalam kumpulan yang sudah layak menerima vaksin Covid-19 dan saya memang memberi galakan kepada mereka untuk cucuk. Dan setakat ini mereka okay.

“Apa lagi pilihan yang kita ada untuk memastikan kesihatan dan keselamatan anak-anak dalam keadaan sekarang ini?

“Kita semua sentiasa terdedah dengan virus ini dan ada juga varian-varian ganas seperti Delta dan sebagainya, sudah tentu saya risau.

“Untuk memastikan anak-anak sihat, sekurang-kurangnya sistem imuniti mereka lebih kuat dan saya rasa vaksin adalah ikhtiar terbaik buat masa ini,” katanya.

Mengulas mengenai sesi persekolahan yang akan dibuka tidak lama lagi, Farah berkata dia tetap akan menghantan anak-anak untuk meneruskan pembelajaran di sekolah, demi masa depan mereka.

“Sebagai seorang ibu, sudah tentu banyak perkara yang bermain di minda. Tentang SOP di sekolah, mampukah anak-anak jaga diri mereka sendiri.

“Tetapi demi masa depan, mereka perlu juga bersekolah seperti biasa. Tawakal kepada Allah supaya anak-anak kita sentiasa dilindungi-NYA,” katanya positif.

Farah memberikan pandangan tersebut ketika program Instagram Live Amal NR4FRIDAYS anjuran NR atau dikenali sebagai Nona Roguy sebelum ini.

Topik yang dikupas Farah pada 24 September lalu adalah mengenai ‘Vaksin Covid-19: Persediaan Anak-Anak Ke Sekolah’.

Selain Farah, turut bersama dalam perbincangan tersebut ialah Ketua Strategi dan Inovasi NR, Radhiah Ahmad, Dr. Ezzah Nafisah dan wartawan jemputan.

Sementara itu Radhiah Ahmad berkata, program Instagram Live Amal NR4FRIDAYS diadakan untuk berkongsi dan menyentuh pelbagai isu berkaitan kepentingan menjaga kesihatan fizikal dan mental semasa tempoh kawalan kendiri ketika wabak Covid-19 melanda negara.

"Ia juga memberi peluang untuk pengikut berinteraksi bagi mengupas dan membuat perkongsian ilmiah mengenai Covid-19. Tajuk yang disusun bersama rakan selebriti NR menjurus berkaitan program kesedaran kepada masyarakat umum,” katanya.

Program Instagram Live Amal NR4FRIDAYS yang bermula pada 10 September lalu turut menampilkan rakan selebriti seperti Anzalna Nasir, Farah Nabilah dan Tasha Manshahar.

Dalam pada itu, Farah menyifatkan pembabitannya dalam program tersebut memberi peluang kepadanya untuk mendapatkan lebih banyak informasi mengenai Covid-19.

“Pertama kali saya diundang menjadi hos, walaupun di Instagram. Terima kasih kepada Madam D (Radhiah) kerana sudi mengundang saya dan menganjurkan program yang sangat bagus seperti ini.

“Banyak input yang saya dapat termasuk perkara baru berkaitan Covid-19. Bukan saya sahaja, malah mereka yang mengikuti live ini juga dapat manfaat,” katanya.