Pelakon muda Luqman Hafidz akui sedikit takut dan bimbang dengan isu penyebaran gambar, rakaman serta klip video bogel yang semakin kerap melanda selebriti sejak kebelakangan ini.

Luqman atau nama sebenarnya, Muhd Luqman Hafiz Mohd Fauzi, 28, berkata, dia bagaimanapun mengambil langkah supaya lebih berhati-hati dan peka dengan setiap perkara dilakukannya.

“Alhamdulillah saya tak pernah merakam atau berkongsi gambar mengaibkan dengan sesiapa selama ini.

“Tapi apapun saya takut juga sebab tak mustahil dengan teknologi masa kini apa sahaja boleh terjadi,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ali menerusi filem Ola Bola.

Menurut Luqman, dia juga percaya dirinya masih bersih daripada melakukan perbuatan tidak bermoral.

"Saya yakin saya bersih daripada melakukan perkara yang tidak baik dan pelik-pelik.

“Apa yang penting kita haruslah kenal siapa kita berkawan.

Alhamdulillah setakat ini saya juga dikelilingi rakan yang baik," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Mind Order di Forest Valley Hall, Cheras baru-baru ini.

Terdahulu, beberapa selebiriti lelaki telah menjadi mangsa penyebaran gambar dan klip video bogel.

Antara yang terpalit termasuklah Syafiq Kyle, Aiman Tino dan terbaru foto lucah didakwa mirip pencetus ummah (PU) Rizz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Ismail.