Pengacara Dayah Bakar mengumumkan dia kini sedang hamil cahaya mata kedua dan usia kandungannya sudah memasuki trimester kedua.

Dayah menerusi video yang dimuat naik di TikTok miliknya pada Rabu memohon agar semua orang dapat mendoakan keselamatan dia dan bayi dalam kandungan.

“Ogos adalah bulan istimewa untuk saya dan Fahri. Dengan rasa rendah diri, dan dengan izin Allah , Fahri akan menjadi baby abang. Saya kini dalam trimester kedua, Alhamdulillah.

“Pohon doakan kesihatan dan keselamatan both Ibu dan baby, dan kemudahan bersalin kelak. Ini sangat bermakna buat kami, lebih daripada segalanya,” kata Dayah.

Dalam pada itu, Dayah turut berterima kasih kepada semua yang memberi kasih sayang kepadanya selain turut mendoakan pasangan yang menantikan zuriat.

“Terima kasih buat semua yang selalu memandang saya dengan kasih, dan mendoakan saya di sepanjang perjalanan, walau mungkin kita tidak pernah bersua.

“Saya mendoakan untuk kalian yang menantikan zuriat, bakal dikurniakan rezeki di waktu yang paling tepat oleh Allah. InsyaAllah,” ujarnya lagi.

Video yang dikongsikan memperlihatkan Dayah membuat kejutan kepada suaminya iaitu Kapten Muhammad Hanif Hamidi dengan memberikan ujian kehamilan.

Untuk rekod, Dayah berkahwin dengan Hanif pada 29 Jun 2018.

Perkahwinan mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata lelaki, Achbar Muhammad Fahri yang dilahirkan pada 17 Ogos 2020.

BACA SINI: Hampir Setahun Berhijrah Ke Australia, Dayah Bakar Bawa Suami, Anak Pulang Ke Tanah Air