Penyanyi rapper, Caprice gembira apabila melihat isterinya Farra Inalis manis bertudung sewaktu mereka keluar bersama.

Caprice meminta agar semua mendoakan Farra atau mesra dengan panggilan Elis kekal dengan imej berkenaan.

“Hari ini pergi ‘dating’ dengan kekasih baharu. Masya-Allah, masya-Allah.

“Jom kita doa supaya Farra Inalis kekal dengan imej baharu ini,” usik Caprice.

Caprice atau juga dikenali sebagai Daddy Cap berkongsi perkara itu dalam sebuah rakaman video di akaun Instagram miliknya.

Dalam video berkenaan mereka duduk bersebelahan di dalam kereta.

Elis yang berada di sebelah tersipu-sipu malu apabila diusik selain cuba menyembunyikan wajahnya daripada dirakam Caprice.

Tambah Caprice lagi dengan berseloroh memberitahu sekiranya isterinya kekal dengan imej sebegitu, dia akan melancarkan semula bisnes pakaian Muslimah miliknya yang pernah diusahakan sebelum ini.

“Kalau baby (panggilan untuk isterinya) kekal dengan imej ini, insya-Allah esok juga abang tempah kain dan lancar semula bisnes muslimah kita.

“Esok juga lancar aplikasi-aplikasi Islamik kita,” guraunya.

Dalam satu lagi kemas kini, Caprice lagi sekali memuat naik video berjalan dengan isterinya dalam imej yang sama iaitu bertudung bawal bercorak.

Caprice memberitahu dia bangga dengan isterinya dan menghadiahkan kredit kad untuk digunakan.

“Baby, I’m proud of you. Nah my credit card guna untuk hari ini saja ya,”pesannya.

Kedua-dua kemas kini itu mendapat perhatian pengikut serta netizen yang turut menitipkan doa agar Farra terus istiqamah.

Terdahulu, Caprice dan Elis berkahwin pada pertengahan November tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup.

A post shared by Tiger of AlQuds (@capricedaddycap)

A post shared by Tiger of AlQuds (@capricedaddycap)