[VIDEO] “Macam-Macam Mereka Buat Dengan Gambar Saya…” – Siti Nurhaliza Sekali Lagi Menjadi Mangsa Scammer Penipuan Jual Beli Produk
Shahrin Zulkifle
16/08/2022 01:00 MYT
16/08/2022 01:00 MYT
Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza meluah rasa kesal apabila masih ada golongan peniaga dalam talian menyalahgunakan fotonya bersama suami, Datuk Khalid Mohd. Jiwa semata-mata ingin melariskan produk jualan mereka.
Siti menerusi satu hantaran video terbaharu di laman Instagramnya, menjelaskan ini bukan kali pertama dia memberikan peringatan kepada orang ramai supaya tidak tertipu dengan akaun palsu yang menggunakan namanya.
“Sebenarnya sudah banyak kali saya berpesan kepada pengguna media sosial mengenai penggunaan gambar saya dan ada juga yang menggunakan gambar suami saya untuk tujuan menipu.
“Kali ini saya buat video untuk mengingatkan lagi kepada orang ramai supaya lebih peka dan boleh mengetahui penipuan yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Macam-macam tau yang mereka buat dengan gambar saya, malah ada juga yang gunakan video saya untuk orang meneka nombor dan janjikan hadiah wang tunai.
“Selain itu, ada juga iklan shampoo yang katanya digunakan oleh suami saya, sedangkan gambar suami saya itu baru balik umrah dalam keadaan botak, ada juga gambar saya dengan iklan pelaburan, artikel-artikel yang tak masuk akal dan sebagainya”, ujar Siti.
Terdahulu, kejadian sama menimpa pelantun lagu Purnama Merindu itu, apabila ada pihak yang menyiarkan video lama ketika sesi live di Instagram sebagai tektik penipuan seolah penyanyi itu benar-benar sedang menganjurkan peraduan secara live.
Sementara itu, menerusi hantaran video yang sama Siti atau nama aslinya Siti Nurhaliza Tarudin, 43, berharap video penjelasan yang dikongsinya dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak mudah tertipu.
“Saya sangat berharap agar video penjelasan saya ini dapat dikongsi dan akan memberikan kesedaran supaya kita tidak terpedaya.
“Tidak semudah itu mereka mahu memberikan wang tunai, jika mereka jujur, mengapa menggunakan video saya? Bukankah dari sini kita sudah tahu muslihat mereka untuk memperdaya orang ramai, pesan saya sentiasa berwaspada” ujarnya.
Sehingga artikel ini ditulis, video berdurasi dua minit itu telah menerima 180,000 tontonan dan 8,000 tanda suka.
#Viral
#Siti Nurhaliza
#Datuk K
#CTDK
#PDRM
#TikTok
#Mangsa Scammer
#Aafiyah Anak Ibu
#Siti Nurhaliza Scammer