Persembahan penyanyi Ifa Raziah menerusi lagu Sepi Sekuntum Mawar Merah dalam sebuah program realiti menerima pelbagai kritikan kerana dianggap suara sumbang.

Biarpun sedih dengan kritikan netizen yang menggelarnya pelacur dan iblis, semangat Ifa kembali selepas dipertemukan dengan pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun.

“Ketika saya sedang dicaci, dimaki dan dihina oleh ribuan warga maya, hanya kerana nyanyian saya sumbang dan tak sedap di program itu sehingga ada yang menggelarkan saya pelacur, iblis, setan.

“Doakan saya mati dan macam-macam lagi gelaran diberikan kepada saya di media sosial, tak apa… Allah hadirkan insan bernama @ustazahasmaharun untuk merawat dan menghiburkan hati saya.

“Walaupun pertemuan ini singkat, ia cukup bermakna buat saya,” kongsi Ifa menerusi laman Instagram miliknya.

A post shared by MISS DIVA IFA RAZIAH (@ifa_raziah)

Penyanyi dangdut yang juga seorang usahawan itu berkongsi video dia terkejut dengan kunjungan Ustazah Asma yang telah diaturkan oleh pengasas sebuah produk kecantikan.

Menerusi perkongsian tersebut, penyanyi lagu Terus Terang itu tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika bertemu dengan Ustazah Asma.

“Pertemuan yang tak boleh digambarkan dengan kata-kata. Air mata tak berhenti-henti mengalir.

“Hanya Allah Maha Berkuasa yang tahu perasaan saya ketika ditemukan dengan insan yang hebat Ustazah Asma Harun. Perancangan Allah lagi hebat.

“Syukur Alhamdulillah,” tulisnya lagi.