Pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof memberi amaran kepada pihak yang cuba menghidupkan semula persatuan Padu Citra yang sebelum ini sudah dimansuhkan tahun lalu.

Jelas Eizlan, program Padu Citra yang ditubuhkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu sebenarnya memeras anggotanya dan telah menyalahgunakan kuasa.

“Saya baru dapat satu info di mana ada pihak yang cuba menghidupkan kembali program Padu Citra.

“Padu Citra adalah satu program di dalam Finas yang ‘memberi’ kuasa kepada persatuan yang terlibat untuk memeras ahli-ahli mereka

“Maksudnya disini, jika mereka bukan ahli mana-mana persatuan yang ada atau tidak membayar yuran, mereka tidak dibenarkan mencari rezeki dalam industri hiburan.

“Tidak kiralah pelakon atau pekerja belakang tabir, ianya tetap memberi impak yang sangat negatif buat mereka,” kata Eizlan menerusi hantaran terkini di laman Instagramnya.

A post shared by Eizlan Yusof (@eizlanyusof)

Dalam pada itu, Eizlan berkata dia tidak akan berdiam diri dan bertindak untuk melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa.

Malah dia turut mengingatkan pihak berkenaan untuk memikul amanah yang diberi dengan baik.

“Apabila hari ini saya dengar ada usaha untuk menghidupkan kembali Padu Citra, saya ingin memberi amaran tegas kepada manusia yang tidak bertanggungjawab jangan ambil kesempatan kepada warga industri tanah air.

“Jangan hanya fikir nak penuhkan tekak kalian sahaja, jangan fikir nak perah hasil keringat orang lain, ianya bertentangan dengan perlembagaan Malaysia.

“Saya tidak teragak-agak untuk lapor hal ini kepada pihak berkuasa dan kepada korang yang berniat nak hidupkan semula Padu Citra jangan nak memandai-mandai.

“Jangan merosakan industri, guna kuasa dan amanah dengan baik, angkat industri ke satu tahap yang lebih baik,” tambahnya.

Untuk info, Eizlan pernah dilantik sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas untuk tempoh Mac 2021 sehingga Mei 2022.

Terdahulu, Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim berkata, skim Padu Citra yang dimansuhkan pada 1 Februari tahun lalu perlu diwujudkan kembali sebagai langkah menggalakkan pemohon Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) menganggotai persatuan.