Satu lagi filem di dalam The Conjuring Universe, ‘Annabelle Comes Home’ atau lebih dikenali ‘Annabelle 3’ kembali dengan trailer penuh kejutan untuk menghantui penggemar filem seram.

Menerusi trailer berdurasi hampir dua minit yang baru sahaja dikeluarkan oleh Warner Bros Pictures, penonton bakal gigit jari ketakutan dengan pelbagai sosok entiti yang muncul.

Selain Annabelle yang sibuk mengacau manusia, ada satu lagi makhluk seram yang menjadi tunjang utama filem ini.

Makhluk bermata syiling yang dikenali sebagai The Ferryman akan diperkenal di dalam filem ini.



The Ferryman adalah pengumpul duit syiling kerana apabila ada seseorang mati, mereka akan meletakkan duit syling pada mata si mati agar The Ferryman datang mengambil roh tersebut.

Bagi yang belum pernah menonton Annabelle, patung itu dikunci di dalam peti kaca dan dilindungi oleh penghalau hantu Ed dan Lorraine Warren.

Kejadian aneh mula berlaku apabila ada orang yang tak faham bahasa, membuka peti kaca tersebut, memberi peluang kepada patung tersebut beserta roh jahat di dalamnya meliar mencari mangsa.

‘Annebelle Comes Home’ dibintangi McKenna Grace, Madison Iseman, Katie Sarife, Patrick Wilson dan Vera Farmiga.

Filem ketiga arahan Gary Dauberman ini akan berada di pawagam Malaysia pada 27 Jun ini.