FILEM
Vino G. Bastian Kongsi Cabaran Lakonkan Babak Ruqyah 100 Orang Dalam Qodrat 2 - “Agak Dilema Juga Sebab…”
Aktor, Vino G. Bastian mendedahkan salah satu babak paling mencabar yang dilakonkannya dalam filem filem Qodrat 2.
Menurut Vino yang memegang watak Ustaz Qodrat itu dia perlu menjayakan babak meruqyah kira-kira 100 orang buruh wanita yang mengalami kerasukan.
“Sebenarnya agak dilema juga sebab semua yang diruqyah itu perempuan. Dari sudut pandang seorang ustaz, macam mana caranya nak ruqyah seramai itu, dan semuanya pula wanita?” kongsi Vino.
Bagi memastikan babak tersebut dilakukan dengan tertib dan menghormati hukum agama, Vino membuat keputusan untuk mendapatkan pandangan daripada ustaz yang mahir dalam bidang ruqyah.
Beliau berbincang secara khusus supaya aspek kemahraman tetap terpelihara, walaupun ia hanyalah untuk tujuan lakonan.
“Akhirnya kami rujuk ustaz, tanya bagaimana nak pegang orang yang bukan mahram. Semua itu kami dah bincangkan,” katanya lagi.
Pelakon berusia 42 tahun itu turut menekankan bahawa Qodrat 2 bukanlah sekadar sebuah filem seram biasa. Sebaliknya, filem ini mengangkat nilai keimanan dan pentingnya menjaga ibadah dalam kehidupan berumah tangga.
“Sebenarnya, Qodrat ini bukan filem seram yang hanya ‘menjual’ makhluk halus atau unsur syaitan semata. Ia lebih daripada itu.
“Filem ini banyak menyentuh aspek keimanan, seperti yang Acha Septriasa sebut, bahawa ibadah yang paling panjang dalam Islam adalah berumah tangga,” jelasnya.
Nilai mendalam ini turut diterjemahkan melalui rekaan poster filem Qodrat 2 yang langsung tidak menampilkan unsur syaitan.
“Filem ini bukan sekadar hiburan kosong. Poster pun tak ada syaitan langsung sebab mesej tersiratnya lebih mendalam. Dalam Qodrat 2, elemen drama lebih kuat, emosi lebih terasa, dan ketegangannya juga lebih padat,” kongsi Vino.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.