Orang ramai yang bimbang tentang isu ‘potong giliran’ bagi mendapatkan vaksin mungkin boleh menarik nafas lega apabila kerajaan mempertimbangkan untuk tindakan denda.

Perkara itu disuarakan oleh Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Menurut Khairy, kuasa tambahan mungkin diberikan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk mengenakan kompaun tersebut.

Khairy berkata, pihaknya juga sudah mewujudkan 'Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan' bagi memastikan isu tersebut tidak lagi berulang kelak.

"Dengan garis panduan yang jelas ini, ia membolehkan mereka yang ada di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pastikan mereka yang datang adalah barisan hadapan.

“Kalau ada pun tekanan, jangan benarkan sesiapa potong giliran,” katanya.

Tambahnya, pihak kementerian sangat tegas dalam perkara ini dan aduan secara e-mel juga dibuka.

“Kalau ada maklumat, mereka boleh buat aduan, tak perlu sertakan nama pun tidak mengapa.

"Kalau berlaku juga (potong giliran), kita mungkin boleh tambah kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk denda atau kompaun siapa yang potong giliran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) di sini pada Isnin yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Jelas Khairy, meskipun ramai keliru, namun beliau memaklumkan wakil rakyat merupakan penerima vaksin COVID-19 dalam Fasa Satu, seperti yang diumumkan sebelum ini.

Terdahulu, isu potong giliran hangat diperkatakan di media sosial apabila terdapat aduan mendakwa ada golongan VIP memotong giliran barisan hadapan dalam menerima vaksin COVID-19.

Sumber: Astro Awani